arena

Dhaarma kecewa aksi Piala Razak

Oleh Naqib Nor Said

SUSULAN ketandusan bakat berkualiti dalam saingan Piala Razak, berakhir semalam memaksa pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah (gambar) mengalihkan fokus memanggil pemain yang tidak beraksi di kejohanan itu.

Dhaarma, berkata tindakan di luar kebiasaan itu adalah kerana beliau mahu memberi peluang kepada empat pemain yang dianggap berbakat besar, namun tidak dapat mengambil bahagian kerana terikat dengan komitmen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kejohanan lain.

Bagaimanapun, pengendali berusia 48 tahun itu tidak menolak kemungkinan tetap memberi peluang kepada beberapa pemain muda beraksi cemerlang dalam saingan itu bagi melengkapkan senarai 26 pelatih kem negara yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya amat terkilan bukan saja kerana kejohanan ini gagal mencapai objektif menemui bakat baharu tapi juga tidak berpuas hati kerana pemain yang pernah digugurkan terus mempamerkan prestasi kelas dua di belakang pemain kebangsaan.

“Saya tidak pasti sama ada mereka faham satu-satunya cara untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan adalah mereka perlu beraksi lebih baik ataupun sekurang-kurangnya menyamai tahap pemain kebangsaan.

“Keutamaan saya kali ini adalah untuk memanggil pemain yang tidak pernah menyertai latihan skuad kebangsaan kerana saya ingin menilai persembahan mereka. Jadi bagi pemain yang tidak terpilih mereka masih mempunyai peluang menonjolkan bakat pada saingan Liga Hoki Wanita Malaysia,” katanya.

Penyerang dari Pulau Pinang, Nur Maizatulhanim Syafi Fuad hampir pasti muncul antara empat pemain yang dimaksudkan Dhaarma itu kerana dia baru saja tiba ke tanah air selepas beraksi pada Piala FHE di Australia.

Untuk tiga lagi slot, jika diteliti berdasarkan prestasi sepanjang tahun ini ia mungkin menjadi milik penyerang Kedah Nuramirah Syakirah Zulkifli, Ellya Amanina Ellias (Selangor) dan Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi (Pulau Pinang) yang sedang menghadapi SPM.

Selain itu, persembahan memukau dua penyerang berusia 16 tahun, Siti Zulaika Hussin (Pahang) yang dinobatkan Pemain Harapan Piala Razak dan Nor Atira Ismail (Selangor) juga harus meletakkan mereka kini berada dalam radar pasukan negara.

Kem latihan negara bakal bermula pada 4 Disember depan dengan Dhaarma bakal memanggil 26 pemain sebelum melepaskan mereka bagi persiapan Liga Hoki Wanita Malaysia yang dijangka bermula pertengahan Januari nanti.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 11:23pm
d