arena

Umur bukan halangan

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

PENYERANG Johor Darul Ta’zim II (JDTII), Hadi Fayyadh Abdul Razak yakin mampu menambat hati pengendali skuad Bawah 23 (B-23), Datuk Ong Kim Swee untuk turut serta ke Kejuaraan AFC 2018 di China, Januari ini.

Walaupun hanya berusia 17 tahun, Hadi percaya fizikal tegap dimilikinya akan memberi kelebihan kepadanya dengan faktor usia umur hanya sekadar nombor.

Selepas beraksi cemerlang bersama skuad B-19 negara, Hadi kini mengimpikan mampu memberi sumbangan kepada pasukan negara di peringkat lebih tinggi.

“Syukur apabila dapat panggilan untuk menyertai latihan skuad B-23. Peluang saya memang cerah tapi perlu bekerja lebih keras dan sentiasa buat yang terbaik.

“Faktor fizikal memang kelebihan buat saya. Namun seperti saya katakan, perlu buat yang terbaik kerana setiap pemain ada kelebihan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama B-23 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Bagaimanapun, Hadi mahu kekal positif dan akan gunakan peluang ini untuk mematangkan corak permainannya.

Dalam masa sama, Hadi juga merasakan aksinya bersama skuad B-19 negara banyak membantu peningkatan prestasinya sehingga dipanggil menyertai latihan B-23.

“Aksi B-19 banyak bantu saya. Apapun, kali ini saya mahu sekali lagi bantu pasukan ini.

“Kalau ikutkan, prestasi saya makin meningkat dan rasa mampu beri saingan kepada pemain lain.

“Paling penting, panggilan ini beri peluang kepada saya untuk menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 12:24am
d