arena

Jin Wei belum selesai

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS berakhirnya ujian di peringkat akademik, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei masih belum boleh menarik nafas lega kerana dia mempunyai pelbagai misi penting untuk musim baru termasuk membantu skuad wanita mara ke saingan Piala Uber.

Menurut pemain berusia 17 tahun itu, pencapaiannya untuk musim ini masih boleh dianggap baik selepas berjaya merangkul emas Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu.

“Sebenarnya masih ada sasaran lain yang belum tercapai, musim ini saya sedikit terganggu dengan persiapan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga menyertai kejohanan peringkat remaja,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Ujar juara remaja dunia 2015 itu, tahun depan dia akan memulakan aksi dengan menyertai Masters Thailand (9 hingga 14 Januari) dan Masters Malaysia (16 hingga 21 Januari).

“Selepas itu saya akan membantu skuad wanita negara beraksi di kelayakan Piala Uber (6-11 Februari) dan melihat kepada ranking, sama ada layak untuk bermain di Seluruh England (14-18 Mac),” katanya yang berhasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti selepas ini.

Jin Wei bakal mengikut langkah beberapa pemain senior lain yang turut menyambung pengajian di peringkat universiti namun dalam masa sama tidak terlepas mewakili negara dalam sukan badminton.

“Saya sebelum ini berdepan dua tekanan yang berbeza, iaitu belajar dan bermain badminton. Bagaimanapun, selepas tamat SPM saya berasa sedikit lega.

“Bagaimanapun, selepas ini saya masih mempunyai banyak lagi kejohanan yang perlu disertai,” katanya yang yakin mampu lulus semua lapan mata pelajaran yang diambilnya dalam aliran sains tulen.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 7:46pm
d