arena

BAM sahut cabaran Khairy

Oleh Helmi Talkah

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang optimis pengganti Datuk Lee Chong Wei mampu dicari dalam masa tiga tahun ini sebagai cabaran buat badan induk itu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan dan badan induk itu kini di landasan tepat untuk mencapai matlamat berkenaan.

“BAM menganggap kenyataan menteri itu sebagai cabaran dan kami menerimanya dengan hati terbuka. Bukan saja menteri namun seluruh rakyat Malaysia juga menantikan pengganti Chong Wei.

“Sekarang pun kita sudah boleh lihat peningkatan ditunjukkan pemain perseorangan lelaki negara sejak di bawah kendalian ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

“Iskandar Zulkarnain Zainuddin sudah mula mendapat rentaknya, Lee Zii Jia juga mempamer peningkatan yang cukup ketara. Begitu juga naib juara remaja dunia kita, Leong Jun Hao yang berjaya menjadi naib juara ketika Cabaran Antarabangsa Malaysia baru-baru ini.

“Jadi, mereka inilah antara pemain yang akan mengisi tempat Chong Wei pada masa depan,” kata Norza ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Khairy ketika diminta mengulas mengenai kejayaan Chong Wei menjuarai Terbuka Hong Kong menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia akan mempunyai pengganti kepada bekas pemain nombor satu dunia itu dalam tempoh tiga tahun.

Mengulas lanjut, Norza meletakkan kepercayaan dan tanggungjawab kepada Misbun untuk merealisasikan misi itu dan percaya dengan kredibiliti yang dimiliki jurulatih berkenaan.

“Saya percaya dengan kemampuan yang dimiliki Misbun. Pendekatan yang beliau ambil untuk mendidik pemain dengan penuh disiplin selama ini sudah terbukti dan saya harap ia akan berterusan.

“Saya tahu ia bukan tugas mudah tetapi dengan kerjasama semua pihak, saya yakin kita boleh lakukannya,” kata Norza yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 9:33pm
d