arena

Ampersand tarik diri jika TMJ lepas jawatan

Oleh Rizar Mohd Noor

PENGERUSI Ampersand Sports Sdn Bhd, Tan Sri Vincent Lee Fook Long secara terbuka mendedahkan bahawa beliau akan menarik diri sebagai agensi yang memegang hak eksklusif mencari penajaan bagi saingan Liga Malaysia seandainya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatannya di dalam badan induk bola sepak negara itu.

Vincent Lee berkata, pembabitan syarikat berkenaan untuk membantu Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) adalah kerana yakin dengan kredibiliti dan visi Tunku Ismail yang bersungguh-sungguh mahu memajukan bola sepak tempatan.

“Sekiranya Tunku Ismail berundur dalam tampuk pemerintahan bola sepak negara ini, kami juga sedia untuk menarik diri. Apa pun kami percaya dengan perjanjian yang dimeterai ini, kami akan terus membantu FMLLP dan juga FAM bagi membantu Tunku Ismail menaikkan imej bola sepak tempatan.

“Pihak kami komited dalam membawa lebih nilai komersil kepada FMLLP dan status Liga Malaysia (Liga M) dalam penajaan dan kami akan berusaha untuk beri yang terbaik dalam pembangunan bola sepak tempatan.

“Sebenarnya, kami tidak mengikuti rapat mengenai bola sepak tempatan namun mula tertarik untuk mengambil bahagian selepas teruja dengan misi dan visi Tunku Ismail dalam memajukan bola sepak negara,” katanya.

Vincent Lee berkata, syarikat miliknya mempunyai teknologi dan kepakaran untuk mengembangkan sumber tajaan sebagaimana yang dilakukan di beberapa liga luar seperti Indonesia.

Katanya, syarikatnya sudah mengenal pasti 10 hingga 12 pihak penaja yang bersedia untuk penaja dalam saingan Liga M pada musim depan namun masih belum boleh mendedahkannya dalam masa terdekat.

“Biar kami muktamadkan dahulu dan akan membuat pengumuman tidak lama. Pembabitan kami hanya disebabkan atas dasar kepercayaan terhadap kredilibiti Tunku selaku presiden FAM,” kata Vincent Lee.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 10:32pm
d