arena

Norfarhan kekal bersama TRW

Oleh Hasbullah Ibrahim

PEMAIN sayap, Norfarhan Mohamad mengesahkan dia akan terus kekal bersama pasukan The Red Warriors (TRW) untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pemain berasal dari Terengganu itu ketika dihubungi selepas selesai menandatangani kontrak setahun dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) di sini, petang tadi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada KAFA kerana menyambung kontrak saya bagi musim 2018.

“Kepercayaan mereka dengan kemampuan saya begitu bermakna dan ia memberi peluang untuk saya meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

“Sudah pasti kepercayaan KAFA itu akan saya balas dengan memberi persembahan terbaik dalam saingan Liga M musim depan,” katanya.

Norfarhan atau dipanggil Ann berkata, kehadiran pemain tempatan dan import baharu dalam skuad TRW musim depan memerlukan dia berusaha lebih gigih untuk memastikan namanya tersenarai dalam kesebelasan utama selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Katanya, dia lebih banyak berada di bangku simpanan sepanjang musim ini namun sentiasa berharap diberi peluang turun beraksi membantu jentera serangan.

“Malah saya juga yakin TRW bakal bangkit musim depan untuk bersaing dengan pasukan lain yang berstatus elit walaupun di barisi ramai muka baharu,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, KAFA mengekalkan Kapten TRW, Mohd Badhri Radzi dan mengikat dua pemain yang berkebolehan iaitu bekas pemain Selangor, S Veenod dan import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun yang juga bekas pemain UiTM FC jelas memperlihatkan badan induk itu mahu merencanakan kejayaan bagi musim baharu.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 11:42pm
d