arena

Ledakan Young bantu United

Oleh AFP

WATFORD: Ashley Young menjaringkan dua gol menarik menentang bekas kelabnya ketika Manchester United menewaskan Watford 4-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Red Devils merapatkan jurang kepada lima mata dengan pendahulu liga, Manchester City.

Pemain antarabangsa England, Young meledak dua gol pada babak pertama dalam perlawanan yang berlangsung di Vicarage Road itu.

Anthony Martial dan Jesse Lingard turut meletakkan nama mereka sebagai penjaring dalam perlawanan berkenaan selepas masing-masing menjaringkan satu gol.

Selepas dua kekalahan berturut-turut di tempat lawan, kemenangan itu dianggap motivasi terbaik buat skuad kendalian Jose Mourinho yang akan berkunjung ke Arsenal, Sabtu ini.

Ia juga memberi tekanan kepada City yang akan menentang Southampton, awal pagi esok.

United membuka tirai jaringan menerusi percubaan Young pada minit ke-19. Ia adalah gol pertamanya sejak Mei 2016 dan dia menambah satu lagi gol enam minit kemudian bagi meletakkan pasukan itu selesa di depan dengan kelebihan dua gol.

Martial menjaringkan gol ketiga buat United pada minit ke-32 tetapi Watford kembali bangkit untuk merapatkan jurang apabila menjaringkan dua gol menerusi Troy Deeney dan Abdoulaye Doucoure masing-masing pada minit ke-77 (penalti) dan 84.

Bagaimanapun, Lingard memastikan kemenangan mutlak buat United apabila meledak gol keempat pasukan itu menerusi gerakan solonya pada minit ke-86.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 9:34am
d