arena

Matic keluar, United cemas

Oleh AFP

WATFORD: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata skuad bimbingannya seharusnya ‘menghisap cerut’ selepas mereka terpaksa bekerja keras bagi melakar kemenangan 4-2 ke atas Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu berkata mereka menjadi tidak stabil apabila pemain tengah, Nemanja Matic dibawa keluar pada awal babak kedua kerana kecederaan.

United mendahului 3-0 sebelum waktu rehat perlawanan yang berlangsung di Vicarage Road menerusi dua jaringan daripada Ashley Young dan Anthony Martial.

Namun, selepas rehat Watford berjaya meledak dua gol menerusi sepakan penalti Troy Deeney dan Abdoulaye Doucoure sebelum Jesse Lingard memastikan kemenangan mutlak milik United apabila menjaringkan gol ketika perlawanan berbaki empat minit.

Kemenangan The Red Devils itu hadir selepas dua kekalahan berturut-turut di tempat lawan dan menyaksikan anak buah Mourinho kini hanya ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Manchester City yang akan bertemu Southampton, awal pagi esok.

Bagaimanapun, Mourinho secara terbuka meluahkan kekecewaannya: “Pada babak kedua kami sepatutnya boleh mendahului 5-0 atau 6-0. Lebih mudah untuk menjaringkan gol pada babak kedua berbanding separuh masa pertama.

“Ia adalah perlawanan mudah untuk menang keputusan yang selesa. Ketika kedudukan 3-2, peluang kami menjadi semakin sukar dan selepas itu Jesse Lingard mematikan perlawanan.

“Dia dan Ashley Young menjaringkan gol yang hebat. Kami terlepas untuk mendahului 4-0 dan Romelu Lukaku ada peluang terhidang, Paul Pogba juga...kami sepatutnya menghisap cerut tetapi kemudiannya berdepan masalah,” kata Mourinho.

Mourinho, berkata ketiadaan Matic menyaksikan situasi yang pada awalnya sangat selesa buat pasukan itu menjadi sukar.

“Kami kehilangan stabiliti apabila Nemaja Matic dikeluarkan tetapi apa yang paling penting adalah tiga mata,” kata bekas pengendali Chelsea itu.

“Saya dapat melihat kegembiraan dalam pasukan ini dan mereka bermain dengan fikiran yang tenang. Musim lalu saya belajar apa yang boleh dilakukan Ashley Young, dia memberikan stabiliti dalam persembahannya dan musim ini dia sering diturunkan.”

“Dia mempunyai semangat dan pengalaman yang kami perlukan, hari ini dia juga membuktikan mempunyai bakat menjaringkan dua gol yang cantik.”

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 11:51am
d