arena

PKNP hilang tiga tonggak

Oleh Azizan Hashim

SAINGAN 2018 belum bermula tetapi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sudah hilang tiga tonggak iaitu penyerang utama, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, pemain import Korea Selatan, Kim Hyeon Woo serta pemain pertahanan skuad B 22, Syazwan Zaipol Bahari.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata, Shahrel dan Hyeon Woo memilih haluan lain manakala Syazwan dipulangkan kepada majikanya, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

“Kami tidak menyekat sesiapa pun demi masa depan mereka, ” katanya.

Bakar menjelaskan, usaha membentuk pasukan berjalan seperti biasa dan beliau menjangkakan semuanya akan diselesaikan 1 Disember ini.

“PKNP sedang meneliti kesesuaian pemain dan taktikal. Rundingan mengenai syarat dan terma kontrak masih dijalankan.

“Jika kedua-dua pihak setuju, kita akan tandatangan kontrak,” katanya.

Katanya, PKNP FC sudah membuat tawaran kepada pemain yang tamat kontrak termasuk dua pemain import, Ritus Krjauklis dan Gilberto Valdenesio.

“Tunggu dan lihat pada 1 Disember apabila pemain melaporkan diri di Chemor.

“Mereka yang ada di padang bermakna merekalah yang bersedia menyarung jersi PKNP lagi,” katanya.

Bakar berkata, beliau juga ada dihubungi ejen yang menawarkan khidmat pemain import tetapi setakat ini pihaknya belum membuat apa-apa keputusan.

“Cara yang saya amalkan ialah pemain perlu berlatih bersama pasukan serta menjalani ujian dalam perlawanan persahabatan,” katanya.

Jurulatih itu bagaimanapun mengakui bajet PKNP FC tidak besar seperti pasukan lain dan justeru, mereka perlu mengamalkan sikap ‘ukur baju di badan sendiri’.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 3:37pm
d