arena

Hamilton disambut meriah

Oleh Fadhli Ishak

KEHADIRAN juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton di KLCC hari ini disambut meriah peminat serta penyokong setianya dan penampilannya itu dilabel sebagai ‘kepulangan’ oleh pasukan Mercedes AMG Petronas.

Hamilton merangkul gelaran dunia keempatnya musim ini dan gandingannya bersama Valtteri Bottas membolehkan Mercedes menjulang gelaran pengeluar F1 buat kali keempat berturut-turut.

Ratusan peminat Hamilton mula berbaris di Dewan Filharmonik Petronas sejak jam 10 pagi untuk melihat dengan lebih dekat kelibat pemandu Britain itu yang tampil dalam sesi bertemu peminat dalam satu majlis khas.

Penyokong mula melaungkan “Lewis, Lewis, Lewis, Lewis..” sebaik Hamilton tiba.

Hamilton yang tidak dimaklumkan mengenai sesi itu, kelihatan terkejut dengan sambutan yang diterimanya.

“Terima kasih kerana hadir, saya tidak menjangka untuk melihat sambutan yang sebegini meriah,” kata pelumba berusia 32 tahun itu.

“Ia tahun yang hebat dan kami tidak akan dapat melakukannya tanpa sokongan anda semua.”

Antara penyokong setia Hamilton yang turut hadir ialah Sudharshn Maikel, 24, yang gembira apabila wira pujaannya itu berjaya menjulang gelaran buat kali keempat musim ini.

“Saya mula menyokong Lewis sejak 2008 dan saya mengagumi caranya. Dia bermula dari bawah dan kini dia sudah mencapai segala-galanya,” kata Sudharshn.

“Saya gembira apabila Lewis menyertai Mercedes AMG Petronas. Bagi saya, kejayaan yang dicapainya itu adalah sesuatu yang sangat membanggakan buat negara.”

Seorang lagi peminat, Fatin Nabila Abd Aziz, 24, pula menganggap peluang bertemu Hamilton adalah kenangan paling manis dalam hidupnya.

“Memang seronok apabila melihat Lewis menang bersama Mercedes, Petronas dan Malaysia,” kata Fatin.

“Tapi, adalah sesuatu yang sangat menyedihkan apabila kita tidak akan dapat melihatnya berlumba di Sepang lagi. Saya sangat berharap Grand Prix Malaysia kembali dilangsungkan.”

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 6:09pm
d