arena

Aksi EurAsia kali ketiga Nicholas

Oleh Farah Azharie

NICHOLAS Fung (gambar) seakan sudah menjadi nama yang tidak dapat dipisahkan daripada skuad Asia di Piala EurAsia dan tidak terkecuali tahun ini apabila dia bakal muncul buat kali ketiga berturut-turut dalam pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Kelab Golf dan Country Glenmarie pada 12 hingga 14 Januari nanti.

Selepas mengumumkan dibuat kapten skuad Asia, Arjun Atwal, Selasa lalu, Nicholas meluahkan rasa gembira dan terharunya apabila turut disenaraikan dan berazam untuk memperbaiki prestasi seperti yang dipamerkan edisi lalu.

“Saya gembira apabila dapat bermain buat kali ketiga berturut-turut. Terima kasih kapten Arjun kerana memilih saya,” kata Nicholas.

Pada edisi 2016, Nicholas digandingkan dengan seorang lagi wakil negara, Danny Chia dalam acara four-ball dan foursome. Mereka berjaya mengikat gandingan Victor Dubuisson serta Soren Kjeldsen menerusi keputusan seri.

Tetapi dalam acara perseorangan Nicholas ditewaskan Lee Westwood 7 & 6.

“Saya tidak mahu terlalu banyak berfikir. Permainan dalam pertandingan ini berbeza dengan match play. Semua orang memiliki peluang,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Selain Nicholas, Atwal turut memilih seorang lagi pemain Malaysia, Gavin Green, S S P Chawrasia dan Anirban Lahiri (India), Phachara Khongwatmai, Poon Saksansin dan Kiradech Aphibarnrat (Thailand), Yuta Ikeda dan Hideto Tanihara (Jepun), Kang Sung-hoon dan An Byeong-hun (Korea Selatan) serta Li Haotong (China).

“Kapten Arjun membuat tugasannya dengan baik dan beliau memilih pemain yang menduduki ranking teratas. Pasukan kami memang kuat,” kata Nicholas yang juga pemenang Piala Queen 2017 itu.

“Eropah memang kuat tetapi semua pihak tidak boleh memandang rendah keupayaan pemain Asia. Kami juga kuat. Ada di antara kami yang pernah bermain di Piala Presiden sebelum ini.”

Tidak seperti Nicholas, Gavin akan tampil buat kali pertama di kejohanan itu sebagai pendahulu Order of Merit Jelajah Asia.

“Ini penampilan pertama saya dan saya sangat gembira. Saya sukakan acara berpasukan dan saya pernah bermain dalam acara sebegini selama empat tahun iaitu ketika menuntut di universiti di New Mexico. Bagaimanapun, ini adalah acara berpasukan pertama saya sejak menamatkan pengajian,” kata Gavin, 23.

Sementara itu, penolong kapten Asia 2016, Jeev Milka Singh mengucapkan tahniah kepada Atwal dan pasukannya menerusi laman web Twitter miliknya.

“Ini adalah pasukan hebat yang dikumpulkan Arjun. Ia menggabungkan pemain muda dan berpengalaman,” katanya.

“Selamat maju jaya buat kapten dan pasukannya.”

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 6:27pm
d