arena

PETRONAS mahu perkemas Mercedes AMG

Oleh Fadhli Ishak

DENGAN perubahan baharu dalam saingan Formula Satu (F1) tahun depan, PETRONAS jelas mahu memperkemaskan lagi pasukan Mercedes AMG dalam usaha mengekalkan dominasi mereka di perlumbaan berprestij itu.

Antara perubahan peraturan diperkenalkan pada 2018 adalah mengehadkan pasukan untuk hanya menggunakan tiga unit kuasa dalam satu musim berbanding empat sebelum ini bagi mengurangkan kos terhadap pasukan bertanding.

Peraturan itu secara tidak langsung menjadikan faktor keupayaan enjin menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

PETRONAS yang menyediakan minyak dan pelincir kepada Mercedes jelas sedar dengan situasi berkenaan dan Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Jenama Kumpulan Strategik Komunikasinya, Afiza Mohd Yusof yakin mereka mampu melakukannya.

“Kejayaan yang sudah dicapai setakat ini adalah kerana dedikasi dan impian besar pasukan teknologi dan jurutera kami,” kata Afiza dalam sidang media bersama pemandu Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton di KLCC, hari ini.

“Ya, tahun depan akan menjadi sukar tetapi pasukan kami sentiasa mempunyai semangat untuk mencuba dan saya pasti kami mampu mencapainya dan mengulangi kejuaraan di F1.”

Afiza berkata, PETRONAS sangat berbangga kerana dapat membantu pasukan menjamin gelaran keempat berturut-turut dalam kejuaraan pengeluar selepas Hamilton meraih gelaran dunia keempatnya, musim ini.

“Ia sesuatu yang besar apatah lagi ia juga kemenangan buat Malaysia, pihak di belakang tabir seperti jurutera adalah wira tak didendang dan ia sesuatu yang menggembirakan apabila Lewis berpeluang meraikannya bersama mereka.

“Baru-baru ini (Julai) kami melanjutkan kontrak bersama Mercedes sehingga 2020 dan kami berharap dapat membantu pasukan mencapai kejayaan berganda lagi dalam tempoh tiga tahun ini (kejuaraan pemandu dan pengeluar),” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 7:30pm
d