arena

Joo Ven enggan serah kalah

Oleh Fabian Peter

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven (gambar) masih belum mahu menyerah kalah malah tetap memasang impian besar untuk meraih sesuatu pada tahun depan.

Pemain berusia 22 tahun itu melangkah ke pusingan ketiga kejohanan Masters Korea di Gwangju esok apabila dia mudah menewaskan pemain tempatan, Ko Gyung Bo 21-9, 21-13.

Ketika dihubungi, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui dia bergelut untuk menempa nama dalam kem perseorangan lelaki terutamanya apabila ia turut merangkumi nama besar seperti bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beberapa lagi pemain muda antaranya Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

“Sukar. Sudah tentu saya kecewa terutamanya apabila saya tidak mampu mencapai apa yang disasarkan. Namun saya tidak berasa iri hari dengan rakan sepasukan.

“Bagi saya, saya melihatnya daripada sudut positif. Persaingan sihat diperlukan jadi kami akan sentiasa mempamer peningkatan.

“Secara peribadi, saya mempunyai impian yang besar dan berharap dapat mencapai sesuatu tahun depan. Sasaran utama saya adalah bermain di Siri Super dan mungkin menjadi sebahagian daripada skuad Sukan Komanwel ( Di Gold Coast) dan Piala Thomas (Bangkok),” kata Joo Ven.

Pencapaian terbaik Joo Ven pada musim ini adalah melangkah ke final Kejohanan Antarabangsa Poland pada September lalu.

Pada pusingan ketiga esok, Joo Ven dijadual menentang pemain Taiwan, Lee Chia Hao.

“Saya tidak pernah bermain dengannya sebelum ini tetapi saya pernah melihat aksinya di pusingan kedua. Dia seorang pemain yang bagus, tetapi saya tidak mahu memberi komen sehinggalah saya memasuki gelanggang,” kata Joo Ven yang buat pertama kalinya melangkah ke separuh akhir Grand Prix Emas di Terbuka Thailand, Jun lalu.

Sementara itu, dalam perlawanan pembukaan perseorangan wanita, Soniia Cheah menunjukkan aksi cemerlang apabila menewaskan pilihan keenam, Fitriani Fitriani dari Indonesia 21-18, 16-21, 21-16.

Pemain nombor satu negara itu dijadual bertemu pemain China, Wang Zhiyi selepas ini.

Terdahulu, pemain China itu menewaskan pemain Malaysia, S Kisona 21-16, 21-19. Ho Yen Mei juga tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 21-18, 21-19 di tangan Lee Chia Hsin dari Taiwan.

Turut mengikut jejaknya ke pusingan kedua adalah pemain beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran, Chang Peng Soon-Cheah Yee See.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 9:53pm
d