arena

Allardyce nakhoda baru Everton

Oleh Reuters

LONDON: Bekas pengurus England, Sam Allardyce (gambar) bersetuju dengan perjanjian untuk menguruskan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Everton, lapor Sky Sports memetik sumber, hari ini.

Allardyce, 63 membantu menyelamatkan skuad bergelut, Crystal Palace daripada penyingkiran EPL pada pertengahan musim lalu sebelum meletakkan jawatan sebelum kempen musim ini bermula.

Dia akan menggantikan tempat pengurus kelahiran Belanda, Ronald Koeman di Everton.

Everton memecat Koeman pada bulan lalu susulan persembahan buruk kelab itu musim ini dan melantik pengurus skuad bawah 23 tahun, David Unsworth selaku pengurus sementara.

Begitupun di bawah kendalian Unsworth, kelab itu tidak mencatatkan peningkatan dan menghuni tangga ke-17 liga selepas mengutip 12 mata daripada 13 perlawanan.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 12:32am
d