arena

Gunners bedil Huddersfield

Oleh AFP

LONDON: Mesut Ozil mempamer aksi hebat pada separuh masa kedua ketika pemain gantian Olivier Giroud meledak dua gol bagi membolehkan Arsenal membelasah Huddersfield Town 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Ini adalah kemenangan ketujuh berturut-turut Gunners di Stadium Emirates dalam liga berkenaan musim ini dan Ozil memainkan watak penting dengan satu gol dan dua bantuan jaringan dalam tempoh empat minit bagi membolehkan Gunners kekal di tangga empat teratas.

Alexandre Lacazette memberikan Arsenal gol pembukaan sebelum Ozil membantu Giroud dan Alexis Sanchez meledak jaringan sebelum mencatat jaringan peribadi. Giroud kemudiannya menjaringkan gol kelima mereka.

Pengurus Arsenal Arsene Wenger menurunkan barisan terkuatnya kali ini, dengan kepulangan Ozil yang digandingkan bersama-sama Lacazette dan Sanchez.

Namun dalam pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak Januari 1972, pengurus Huddersfield David Wagner membuat enam pertukaran terhadap kesebelasan utamanya.

Tindakannya itu nyata membawa padah apabila Arsenal pantas berada di depan seawal minit ketiga menerusi gerakan cantik yeng menghasilkan jaringan ketujuh Lacazette buat Arsenal dan kelima di laman Emirates.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 9:44am
d