arena

Aura Kubica makin terpancar

Oleh Reuters

ABU DHABI: Pelumba Poland Robert Kubica berada di landasan tepat untuk kembali ke litar Formula Satu (F1) selepas menamatkan sesi ujian terakhir tahun ini awal pagi tadi dengan catatan terpantas sebagai pemandu Williams.

Pelumba berusia 32 tahun itu yang tidak beraksi di kancah F1 sejak kemalangan rali pada 2011 tetapi menjadi calon pilihan untuk menggantikan pelumba Brazil Felipe Massa, mencatat masa ketujuh terpantas keseluruhan pada hari kedua ujian tayar Pirelli di litar Yas Marina, Abu Dhabi.

Catatan sepusingan satu minit 39.485 saat yang direkodkannya berbanding pelumba remaja Kanada Lance Stroll semalam, kedua-duanya menggunakan tayar hypersoft baru.

Catatan terbaik pelumba Russia Sergey Sirotkin awal pagi tadi adalah 1:39.947 menggunakan tayar lembut. Kubica ketinggalan 1.3 saat ketika menggunakan tayar jenis itu semalam.

Pengarah teknikal Williams Paddy Lowe bagaimanapun berkata, catatan masa kadang kala mengelirukan.

“Ia satu topik yang sukar apabila mengaitkan mengenai kelajuan dan prestasi jadi membaca catatan masa kadang kala mengelirukan. Jadi saya enggan bercakap mengenainya. Malah kami sendiri tidak menganalisisnya,” katanya.

Beliau berkata Kubica menjalankan tugas cemerlang di kokpit.

“Kami mahu melihat Robert memandangkan dia tidak pernah memandu menggunakan kereta dan tayar terkini, jadi sudah pasti menarik untuk melihat bagaimana dia berlumba dengan keadaan itu.

“Tiada masalah. Keadaannya baik. Pemanduan yang baik, tidak merungut, tiada isu, semuanya berjalan lancar.”

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 12:47pm
d