arena

Selecao yakin ramuan Tite

Oleh AFP

RIO DE JANEIRO: Brazil memiliki keyakinan penuh menjelang undian Piala Dunia di Russia esok, dan ia bukan hanya disebabkan tarikan Neymar.

Bangkit selepas malu besar apabila tewas 1-7 kepada Jerman ketika menjadi tuan rumah kejohanan sama pada 2014, Brazil sekali lagi meletakkan diri mereka dalam kelompok pencabar utama.

Selecao menjadi pasukan pertama layak ke kejohanan terulung itu tahun depan, menyempurnakan kelayakan zon Amerika Selatan dengan kelebihan 10 mata berbanding Uruguay di tangga kedua.

Mereka memiliki penyerang berbisa, pertahanan kental dan Tite, jurulatih yang berjaya melonjakkan pasukan daripada era kejatuhan dalam tempoh singkat dan kembali memulihkan kepercayaan penyokong yang semakin terdesak.

Sewaktu Tite mengambil alih pasukan itu pada Jun 2016, beliau dipertanggungjawabkan ke atas pasukan yang pernah menjulang lima kejuaraan dunia, namun di bawah pengendali terdahulu Dunga, pasukan itu jatuh ke tangga keenam pada kelayakan peringkat zon.

Brazil ketika itu dilihat langsung tidak berpeluang ke Russia.

Namun di bawah kendalian Tite, skuad itu bangkit, kembali menemui gaya permainan menakjubkan dan memiliki bintang individu yang sedia bekerjasama sebagai satu pasukan.

Dalam baki 12 perlawanan kelayakan itu, Brazil menang 10 perlawanan dan seri dua, menjaringkan 30 gol dan bolos hanya tiga.

Bekas jurulatih Corinthians itu tidak membuat banyak pertukaran terhadap pasukan untuk mencetus kebangkitan menakjubkan mereka.

“Tite bukanlah jurulatih seperti (Pep) Guardiola yang datang dengan inovasi hebat tetapi tidak syak lagi beliau adalah jurulatih terbaik Brazil,” kata pengulas ESPN Brazil, Mauro Cezar Pereira.

“Tidak seperti jurulatih sebelumnya, beliau sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak moden dan tahu bagaimana mengatur semula pasukan. Ia mungkin bukan generasi terbaik pernah kami miliki tetapi mereka pemain yang baik.

Skuad utama 11 pemain itu digerakkan gandingan trio berbisa Gabriel Jesus (Manchester City) sebagai penyerang utama, dibantu oleh Neymar (PSG) dan Philippe Coutinho (Liverpool), biarpun ketiga-tiganya digalakkan untuk menentukan rentak permainan.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 1:52pm
d