arena

Pac-Man beraksi di The Johor Redemption

Oleh Zuraidah Mohamed

IKON tinju dunia, Manny Pacquiao bakal membuat penampilan dalam acara berprestij, The Johor Redemption yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada suku pertama tahun depan.

Acara sukan tinju pertama di Malaysia itu adalah hasil cetusan idea Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan dijangka bakal mencetuskan fenomena sekali gus mengangkat profil sukan itu di rantau ini.

Perlawanan yang dijangka disaksikan lebih 300 juta peminat tinju di seluruh dunia itu dianjurkan Jaohar Group Sdn Bhd.

Pacquiao yang juga dikenali sebagai Pac-Man dalam kalangan peminat sukan itu, akan menjalani latihan di Johor selama sebulan sebelum berentap pada acara kemuncak.

Pengerusi Kumpulan Jaohar, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, Tunku Mahkota Johor mengarahkan supaya pihaknya menguruskan perjalanan acara itu.

“Tunku bertitah kepada kami bahawa acara ini sangat penting kerana ia mampu meningkatkan profil negeri Johor dan imej negara secara keseluruhan.

“Kerjasama yang bakal dijalinkan nanti pasti memberi manfaat besar memandangkan acara ini bakal ditonton lebih 300 juta peminat tinju seluruh dunia,” katanya pada majlis minum petang sempena pemeteraian memorandum persefahaman perlawanan tinju Manny Pacquiao yang dibuat sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan segala bentuk kerjasama terutama dari sudut penajaan supaya dapat bersama-sama merealisasikan impian dan aspirasi Tunku Mahkota Johor itu.

Katanya, Pacquiao sudah dua kali berkunjung ke negeri ini sejak dua bulan lalu dan ia mewujudkan jalinan persahabatan istimewa dengan Tunku Mahkota Johor.

“Ternyata, Pacquiao sangat kagum dengan keluarga Diraja Johor di bawah naungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berjaya dalam banyak aspek terutama pentadbiran dan pembangunan ekonomi,” katanya.

Pacquiao yang berasal dari Filipina sudah 22 tahun menjadi petinju profesional dan memenangi pelbagai gelaran dalam lapan kategori berbeza.

Pacquiao menjadi petinju profesional ketika berusia 16 tahun dan memenangi 57 perlawanan termasuk 38 KO dan tewas enam kali, tiga daripadanya menerusi KO dan dua seri.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 7:22pm
d