arena

Kim Swee kekal taktikal

Oleh Devinder Singh

JURULATIH skuad remaja kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee belum bersedia untuk mengubah penggunaan tiga pemain pertahanan seperti yang diamalkan ketika temasya Sukan SEA dan mahu menerapkan sistem sama apabila anak buahnya beraksi di Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC di China, Januari nanti.

Taktikal di benteng pertahanan yang diamalkan Kim Swee itu terbukti berkesan apabila Malaysia mara ke final Sukan SEA tetapi tewas 0-1 di tangan Thailand, Ogos lalu tetapi sepanjang enam perlawanan, mereka hanya sekali berjaya menghalang lawan daripada menjaringkan gol.

Kim Swee ditanya sama ada beliau masih mahu mengekalkan corak pertahanan sama walaupun Malaysia akan berdepan lawan seperti Arab Saudi, Iraq dan Jordan di dalam Kumpulan C di kejohanan Bawah 23 Tahun itu nanti.

“Buat masa ini, ya. Tetapi saya juga ada pelan tambahan yang menggunakan empat atau lima pemain pertahanan,” katanya selepas sesi latihan di Wisma FAM, hari ini.

“Ia bergantung kepada situasi dan kualiti pemain yang saya ada serta pemahaman mereka terhadap sistem yang mahu saya gunakan.”

Di Sukan SEA, Kim Swee meletakkan Adam Nor Azlin, Adib Zainuddin serta Irfan Zakaria sebagai benteng pasukan sambil dibantu pemain sayap, Matthew Davies dan Syazwan Andik Ishak.

Daripada tiga pemain berkenaan, hanya Adib yang bermain sebagai pemain pertahanan tengah di UiTM FC manakala Adam lebih bebas bergerak di Selangor sambil Irfan bermain selaku pemain tengah bertahan di Kuala Lumpur.

Begitupun, Kim Swee tetap mempunyai pilihan sama ada menurunkan Syazwan Zainol Bahari, Dominic Tan dan A Shivan Pillay di bahagian pertahanan tengah.

“Sistem ini memberikan kami lebih pilihan di bahagian pertahanan dan kemampuan untuk menggerakkan bola secara lebih bebas selain boleh membantu pemain tengah,” kata Kim Swee.

“Gol yang dijaringkan pasukan lawan di Sukan SEA bukan disebabkan mereka mengambil kesempatan atas kelemahan sistem kami tetapi ia berlaku gara-gara kesilapan kami sendiri. Justeru, saya tidak bimbang.”

Kim Swee merancang untuk memulakan latihan taktikal minggu depan sebelum anak buahnya mengharungi perlawanan persahabatan menentang Petaling Jaya Rangers pada 9 Disember.

“Kami masih menumpukan perhatian kepada tahap kecergasan pemain sebelum melaksanakan latihan taktikal minggu depan,” katanya. “Ini adalah kali pertama kami akan bermain di peringkat tinggi di Asia. Justeru, saya semua pemain sedia memberikan persembahan terbaik.”

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 7:41pm
d