arena

Mourinho takkan 'letak bas'

Oleh AFP

BOS Arsenal, Arsene Wenger tidak merasakan Jose Mourinho akan mengarahkan Manchester United bermain secara bertahan apabila kedua-dua pasukan bertemu pada Sabtu ini walaupun beliau terkenal dengan reputasi gemar ‘meletakkan bas’ dalam aksi besar.

United yang berada di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris, berkunjung ke Stadium Emirates dengan tonik terbaik selepas mengatasi Watford 4-2 semalam.

Tetapi Mourinho masih belum pernah memenangi aksi di tempat lawan ke atas ‘enam lawan gergasi’ sejak tiba ke Old Trafford dengan hanya mengutip tiga mata daripada tujuh aksi di Chelsea, Arsenal, Manchester City, Liverpool dan Tottenham.

Perjalanan itu termasuk kekalahan 0-2 di tangan Arsenal musim lalu yang mana menyaksikan Wenger meraih kemenangan pertama ke atas Mourinho selepas 16 percubaan.

Ditanya sama ada beliau menjangkakan Mourinho akan bermain secara bertahan pada Sabtu ini, Wenger membalas: “Tidak, saya tidak menjangkakan sesuatu yang istimewa.

“Saya hanya mahu pemain bersedia sebaik mungkin. Manchester United adalah sebuah pasukan yang kuat dan saya berharap kami mampu menangani masalah yang akan mereka berikan.

“Mereka pasti akan menyerang kami, bukan hanya akan bertahan.

“Ketika ini United berada dalam keadaan terbaik, kami juga sama, jadi ia pasti akan menjadi aksi yang menghiburkan.”

Arsenal menerima kunjungan United dalam keadaan terbaik selepas menang dalam tiga aksi terakhir liga untuk melonjak ke kelompok empat teratas.

Ia bermula dengan kejayaan membenam pasukan jiran tetangga, Tottenham diikuti kemenangan saat akhir di Burnley sebelum membelasah Huddersfield 5-0 di Emirates, semalam.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 9:37pm
d