arena

Villas-Boas tinggalkan Shanghai SIPG

Oleh AFP

SELEPAS gagal menghadiahkan sebarang piala buat Shanghai SIPG, Andre Villas-Boas (gambar) ambil keputusan melepaskan jawatannya selaku pengendali kelab itu.

Jurulatih dari Portugal berusia 40 tahun itu terlepas daripada peluang terbaik untuk menjulang trofi selepas menyaksikan pasukannya tewas kepada pasukan bukan pilihan, Shanghai Shenhua di final Piala FA.

Malah dalam saingan liga turut menyaksikan Shanghai SIPG sekadar menamatkan saingan Liga Super China di tempat kedua, di belakang Guangzhou Evergrande serta kalah di separuh akhir Liga Juara-Juara Asia.

“SIPG dan pemain sudah meraih kejayaan, pamer peningkatan dan juga berdepan kekecewaan,” menurut kenyataan kelab itu yang turut berterima kasih kepada Villas-Boas.

“Kami mengumumkan yang SIPG dan Villa-Boas sudah pun mengambil haluan masing-masing.”

Sebelum ini Villas-Boas dipuji dan digambarkan sebagai jelmaan Jose Mourinho ketika ambil keputusan meninggalkan Porto untuk melatih Chelsea.

Namun selepas lapan bulan di Stamford Bridge, Villa-Boas dipecat sebelum bertindak selaku pengendali Tottenham Hotspur dan kelab Russia, Zenit St Petersburg.

Pada November 2016, Villas-Boas menyertai Shanghai SIPG dengan harapan mampu menghasilkan sekurang-kurangnya satu piala.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 11:11pm
d