arena

Spurs mungkin letih mental

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino menafikan keletihan menjadi punca kemerosotan prestasi pasukannya baru-baru ini, namun mengakui pemain tengah Christian Eriksen mungkin mengalami keletihan mental.

Spurs mengalami kejatuhan sejak tewas kepada pencabar utara London Arsenal awal bulan ini dan berkunjung ke Watford Ahad ini tanpa merekodkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Pengurus kelahiran Argentina itu pernah dipersoalkan sama ada corak permainan mereka menyebabkan pemainnya mudah letih, namun beliau berkata penggiliran skuad yang dilakukannya bermakna keletihan tidak harus dipersalahkan atas keputusan buruk kebelakangan ini.

“Christian Eriksen, mungkin agak keletihan,” kata Pochettino pada sidang media awal pagi tadi.

“Ia lebih kepada mental, bukannya fizikal kerana dia mempamerkan aksi membanggakan dalam dua perlawanan antarabangsa.”

Eriksen menjadi nadi kejayaan Denmark mara ke Piala Dunia di Russia tahun depan apabila menjaringkan hatrik ketika menang 5-1 ke atas Ireland menerusi penentuan playoff.

Pochettino bagaimanapun menegaskan bahawa pengatur serangan itu berada pada tahap fizikal terbaik, seperti juga pemainnya yang lain.

“Dia tidak boleh berehat, tidak boleh berhenti dan sudah pasti mungkin bergelut dengan prestasi tetapi keadaan fizikalnya menakjubkan, statistik yang ditunjukkannya dalam setiap perlawanan sungguh luar biasa,” kata pengurus berkenaan.

“Saya fikir, pemain lain juga tidak kerana Dele Alli tidak terbabit dalam tiga perlawanan pertama Liga Juara-Juara kerana kami menggilirkan pemain. Ini bukan punca pasukan ini bergelut dengan prestasi.”

Alli adalah seorang lagi pemain yang mengalami kemerosotan prestasi sejak kebelakangan ini tetapi Pochettino berkata, ia sesuatu yang normal buat pemain berusia 21 tahun yang pasti ada turun naik sepanjang musim.

“Dia masih muda, dia perlu mencari keseimbangan tetapi saya gembira dengannya,” kata Pochettino.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 8:56am
d