arena

Keupayaan Three Lions misteri

Oleh AFP

LONDON: Meskipun tidak berdepan kesukaran di kempen kelayakan, keupayaan England sama ada dapat mengatasi tekanan apabila bermulanya kejohanan berpresij itu masih diragui menjelang undian Piala Dunia 2018, malam ini.

England dilihat cemerlang di bawah bimbingan Gareth Southgate sejak dimalukan Iceland pada Euro 2016 apabila tidak pernah tewas dan mempunyai kelebihan lapan mata di tangga atas saingan kumpulan kempen kelayakan.

Barisan pemain muda seperti Harry Kane, Dele Alli dan Marcus Rashford menjanjikan masa depan yang cerah, tetapi mereka sering mempunyai rekod buruk gagal beraksi dengan baik di kejohanan sebenar.

“Pada akhirnya, anda tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak sekian lama,” kata Kane.

“Cabaran terbesar kami adalah ketika beraksi dalam kejohanan bola sepak.

“Saya tidak fikir kemampuan kami terlalu lemah berbanding pasukan lain tetapi ia sering berlaku ketika di kejohanan besar.

“Saya rasa inilah perkara yang perlu kami ubah,” katanya.

Rapuh adalah perkataan yang sering digunakan oleh Ketua Eksekutif Persatuan Bolasepak (FA) England, Martin Glenn untuk menggambarkan masalah psikologi barisan pemain England selepas tewas kepada Iceland yang kemudiannya menyaksikan Roy Hodgson meletak jawatan selaku jurulatih.

Southgate yang dilantik selepas membimbing skuad bawah 21 tahun England, cuba mengatasi masalah itu dengan mengadakan sesi dialog di antara pemainnya dalam usaha mengatasi masalah kekuatan mental di atas padang.

“Kami berada dalam cabaran berbeza berbanding pasukan seperti Jerman dan Brazil. Kami akan membina keyakinan daripada prestasi memberangsangkan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 2:14pm
d