arena

Wafie azam bangkit

Oleh Farah Azharie

SELEPAS mencatat keputusan mengecewakan di Kejohanan Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) semalam, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad percaya dia mampu bangkit dengan keputusan lebih baik nanti.

Lebih dikenali sebagai Wafie, atlet berusia 23 tahun itu adalah satu-satunya wakil Malaysia di kejohanan berkenaan dan ia juga penampilan pertamanya.

Bagaimanapun, Wafie gagal mencatat keputusan memberangsangkan selepas persembahan yang agak mengecewakan dalam acara clean and jerk.

Atlet kelahiran Pahang itu menduduki ranking ketujuh dalam acara snatch selepas berjaya menjulang bebanan seberat 111kg bagi kategori lelaki 56kg - kategori sama yang menyaksikan pemegang rekod dunia dari Vietnam, Thach Kim Tuan memenangi emas hasil kejayaan mengangkat bebanan 126kg (snatch) dan 153kg (clean and jerk) untuk mengumpul keseluruhan 279kg.

“Sangat mengecewakan dan mungkin adalah salah satu keputusan terburuk saya. Saya menyertai terlalu banyak pertandingan tahun ini dan saya berazam untuk bangkit menebus kesilapan itu nanti,” katanya.

“Sukan Komanwel adalah kejohanan terbaik untuk saya membuktikan kemampuan. Selepas ini, saya akan pulang ke Malaysia untuk menumpukan perhatian kepada latihan.”

Wafie mengaku prestasinya tahun ini tidak begitu baik hingga terpaksa mengetepikan Terbuka Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Langkawi bagi mengelak daripada tercedera walaupun kejohanan berkenaan amat dinantikan sebelum ini.

“Saya terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Antarabangsa Malaysia di Langkawi. Pertandingan itu membawa makna besar buat saya tetapi saya perlu memikirkan perkara lain kerana sudah terlalu banyak kejohanan yang saya sertai tahun ini,” kata Wafie.

“Saya mengambil keputusan untuk menarik diri dan jurulatih (Wang Zhiquan dari China) mengarahkan saya untuk menumpukan perhatian kepada Sukan Komanwel kerana ia lebih penting.”

Setakat ini, Wafie sudah mengesahkan penyertaan di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia (April 4-15) dan Sukan Asia di Jakarta serta Palembang, Indonesia (18 Ogos-2 September) dan muncul satu-satunya atlet angkat berat yang disenaraikan di bawah Program Podium.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 3:56pm
d