arena

Pertembungan dua musuh

Oleh AFP

KETIKA Arsenal berdepan Manchester United pada saingan Liga Perdana Inggeris malam ini, tumpuan bukan saja terarah kepada aksi pemain tetapi pasti ada pihak yang memerhatikan gelagat dua individu yang sekian lama ‘bertelagah’ di tepi padang.

Permusuhan pengurus Arsenal, Arsene Wenger (kiri) dan pengendali United, Jose Mourinho (kanan) bukan satu perkara baru sebaliknya ia mula berlaku sejak jurulatih Portugal itu tiba di England, 13 tahun lalu.

Maki hamun sudah sering kedengaran antara keduanya dan ia seakan tidak berpenghujung. Walaupun Wenger kini berusia 68 tahun manakala Mourinho menjejak 54 tahun, masing-masing dilihat masih belum cukup ‘dewasa’.

Mengapa kedua-duanya saling membenci antara satu sama lain? AFP Sports mengimbau kembali punca permusuhan mereka dan menggariskan beberapa perkara yang menambah rencah perbalahan.

Ketika Mourinho mengendalikan Chelsea pada 2004, personalitinya membuatkan episod permusuhan dengan Wenger berlaku dalam kadar yang cepat apatah lagi dengan gelaran selaku antara pengurus paling senior ketika itu, pengendali Perancis berkenaan pastinya digugat oleh individu yang dilabel ‘junior’ seperti Mourinho.

Mourinho dilihat lebih bersopan ketika berdepan pengurus Manchester United ketika itu, Alex Ferguson tetapi beliau akan segera menukar wataknya setiap kali bertemu Wenger.

Ketika Wenger melabel semangat Chelsea semakin luntur gara-gara beberapa keputusan mengecewakan pada musim 2005-06, Mourinho pantas membalas dengan berkata: “Saya rasa, beliau (Wenger) seorang yang suka menyibuk. Beliau terlalu suka mengambil tahu hal orang lain.

“Ada sesetengah individu, ketika mereka di rumah, mereka akan mengintai apa yang dilakukan oleh jiran menerusi teleskop. Dalam hal ini, beliau suka menyibuk dan bercakap mengenai Chelsea.”

Kata-kata sedemikian tidak pernah berpenghujung dan perbalahan antara Wenger dan Mourinho masih lagi berlaku. Perbezaan pendapat mereka bagaimanapun boleh dilihat menerusi karier masing-masing.

Bekas pengurus Real Madrid, Inter Milan dan Porto, Mourinho tidak pernah mengendalikan mana-mana kelab selama lebih tiga tahun manakala Wenger sudah 21 tahun bersama Arsenal.

Wenger menggunakan kepakarannya untuk mengubah serta memberi imej baru kepada Arsenal dan beliau melahirkan salah satu kelab yang dianggap paling menarik di dalam sejarah bola sepak Inggeris tetapi pada masa sama, keputusan yang diterimanya kerap dipertikaikan.

Mourinho pula memilih untuk mengejutkan dan membuka mata semua pihak. Beliau akan menggunakan kuasanya untuk mengetepikan semua pandangan negatif dalam usahanya memastikan mereka semua patuh kepadanya. Keputusan yang diterimanya memang menarik tetapi pada masa sama, kelancangan mulutnya sering membawa padah apabila sudah terlalu kerap pemain bangkit membantah.

Pada Februari 2014, Arsenal ketika sudah mengharungi lapan tahun tanpa sebarang gelaran dan pada masa sama, Mourinho berada di Chelsea menjulang piala.

Bagi meluahkan rasa cemburunya ke atas Mourinho, pengendali Gunners itu menyalahkan penganjur Liga Perdana yang disifatkan sengaja tidak mahu melihat kejayaan anak buahnya.

Mourinho bingkas membalas dan berkata: “Beliau seorang pakar. Pakar kegagalan. Saya tidak begitu. Realitinya, beliau seorang pakar kerana sudah lapan tahun tidak memenangi apa-apa. Ia adalah satu kegagalan. Jika saya berada di tempatnya, saya akan meninggalkan London dan tidak akan datang semula.”

Berang dengan terjahan kasar pertahanan Chelsea, Gary Cahill ke atas bintang Arsenal, Alexis Sanchez pada babak pertama aksi di London sebelum ini, Wenger melangkah ke kawasan teknikal dan bertelagah dengan pengadil, Martin Atkinson. Mourinho tidak melepaskan peluang itu untuk membela pemainnya dan Wenger membalas dengan menolak dada musuhnya itu.

Kedua-duanya kembali bertelagah tidak lama kemudian dan pegawai keempat, Jonathan Moss tampil meleraikan kedua-duanya. Kemenangan 2-0 Chelsea pada Oktober 2014 memberikan kekalahan pertama Gunners musim itu dan tidak hairanlah mengapa kedua-duanya tidak bersalaman selepas perlawanan.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 6:05pm
d