arena

Yew Sim gembira permulaan positif

Oleh Helmi Talkah

PEMAIN beregu lelaki negara, Ong Yew Sin menyifatkan keputusan yang diraih dalam empat kejohanan bersama Tan Wee Kiong sebagai permulaan positif buat mereka.

Mereka yang mula digandingkan sejak September lalu tewas di pusingan pertama Terbuka Perancis sebelum mara ke suku akhir Terbuka Bitburger dan tersingkir di pusingan kedua Terbuka China.

Di Terbuka Hong Kong minggu lalu, Wee Kiong-Yew Sin terkandas di suku akhir. Namun, mereka berjaya mengejutkan pilihan kelapan dari Taiwan di pusingan pertama dan menyingkirkan pasangan berpengalaman, Tan Boon Heong-Hendra Setiawan di pusingan kedua.

Bagi Yew Sin, keputusan dalam empat kejohanan itu boleh dianggap sesuatu positif biarpun gagal memecah kebuntuan bagi melangkah ke separuh akhir buat kali pertama sebagai pasangan.

“Dua kejohanan yang pertama itu (Terbuka Perancis dan Bitburger) kami masih belum serasi dan gagal mendapat rentak permainan. Namun, dua kejohanan terakhir (Terbuka China dan Hong Kong) kombinasi kami sudah bertambah baik dan lebih memahami permainan antara satu sama lain.

“Secara keseluruhan, keputusan yang kami raih dalam empat kejohanan berkenaan boleh dianggap positif. Ia permulaan yang baik untuk kami sebelum saingan tahun depan bermula,” kata Yew Sin.

Yew Sin digandingkan bersama Wee Kiong susulan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memisahkan gandingan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Wee Kiong yang mengalami kemerosotan prestasi sepanjang tahun ini.

Yew Sin berkata, masih banyak kelemahan yang perlu dia dan Wee Kiong perbaiki dalam misi mereka menberi cabaran kepada beregu utama dunia yang lain khususnya menghadapi beberapa kejohanan penting tahun depan seperti Sukan Komanwel, Piala Thomas, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

“Paling ketara kami perlu perbaiki taktikal kami. Ia penting untuk kami lebih mudah mengutip mata ke atas setiap lawan kami,” kata Yew Sin yang sebelum ini bergandingan bersama Teo Ee Yi dan meraih pingat perak Sukan SEA 2017.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 6:37pm
d