arena

Hafifi mahu jadi jurulatih

Oleh Fadhli Ishak dan Naqib Nor Said

ATLET angkat berat kebangsaan, Hafifi Mansor mahu cuba membabitkan diri dengan tugas sebagai jurulatih di sepanjang tempoh penggantungannya.

Atlet kelahiran Terengganu itu yang diuji positif terhadap anabolic steroid oxymetholone ketika menyertai Terbuka Australia di Melbourne pada Mac lalu, berkemungkinan besar dikenakan hukuman gantung empat tahun sekali gus mengakibatkan dia gagal menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

Hafifi berkata, dia sedang menunggu kepulangan presiden Persekutuan Angkat berat Malaysia (MWF), Datuk Ong Poh Eng yang kini berada di Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat untuk membincangkan masa depannya.

Setakat ini, MWF masih belum mengumumkan keputusan rasmi tetapi pada masa sama, Hafifi mengaku ujian sampel B miliknya turut gagal.

“Ketika ini, saya sudah mengangkat bendera putih. Saya mahu berehat dan menenangkan diri seketika di kampung halaman di Terengganu,” kata anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

“Bila Datuk Ong balik nanti (kami akan bincang) apa perancangan untuk saya. Saya boleh melatih Terengganu atau pasukan TLDM. Saya tidak memilih.”

Hafifi percaya, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad yang kini menjadi wakil tunggal negara dalam acara angkat berat, mampu menggantikan dirinya di Sukan Komanwel nanti.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet yang akan bertanding di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan, terutamanya atlet angkat berat.

“Saya harap, Azroy mampu menjadi pengganti saya dan membawa pulang pingat buat negara.”

Hafifi yang bertanding dalam kategori bawah 69 kg, pernah memenangi emas di temasya 2014 di Glasgow serta gangsa di temasya 2010 Delhi.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 9:48pm
d