arena

Perpindahan 90 peratus selesai

Oleh Naqib Nor Said

PERPINDAHAN penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) hanya akan dimuktamadkan selepas pemain itu pulang daripada beraksi di Liga Oman, pertengahan bulan ini.

Perkara itu disahkan pengurus TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin ketika dihubungi hari ini.

“Sekarang ini kedua-dua pasukan kami iaitu pasukan utama TNB dan TNB Thunderbolts sedang menjalankan sesi pemilihan di Johor dengan hampir 50 pemain sedang mencuba nasib

“Jurulatih akan putuskan pemain mana yang akan beraksi dengan pasukan TNB ataupun TNB Thunderbolts termasuk kedudukan Tengku Ahmad Tajuddin.

“Minggu depan kami akan lengkapkan senarai akhir pemain dan Insya-Allah pada pertengahan Disember kami akan umumkan,” katanya.

TNB dikatakan bakal menawarkan kontrak setahun kepada Tengku Ahmad Tajuddin dan ia boleh dilanjutkan setiap tahun sebelum diserap menjadi kakitangan tetap.

Malah, rundingan itu hampir 90 peratus menjadi kenyataan cuma hanya tinggal untuk penyerang kebangsaan berusia 31 tahun itu menurunkan tandatangannya sebaik pulang dari Oman.

Tengku Ahmad Tajuddin mungkin menjadi satu-satunya pemain yang disambar TNB pada jendela perpindahan kali ini ketika Aminuddin turut mengesahkan mereka kekal dengan pendekatan tanpa import.

“Untuk musim depan kami kekal untuk tidak menggunakan khidmat pemain import. Lagipun saya lihat pemain muda kami semakin menunjukkan kematangan dalam permainan.”

Sepanjang empat musim bersama THT, Tengku Ahmad Tajuddin yang pernah beraksi buat Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), berjaya membantu skuad Pantai Timur itu meraih tiga kejuaraan Liga Premier.

Dalam pada itu, TNB juga melakukan sedikit rombakan kejurulatihan dengan kembali menagih khidmat Nor Saiful Zaini sebagai ketua jurulatih sambil pengendali sebelum ini, Muhamad Amin Rahim bakal membimbing TNB Thunderbolts.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 10:16pm
d