arena

Laluan mudah England

Oleh AFP

MOSCOW: Chris Waddle berkata England mendapat undian paling menarik di Piala Dunia 2018 di Russia selepas berjaya mengelak kuasa besar bola sepak dunia.

Dalam undian di Moscow itu, England akan berdepan Belgium, Panama dan Tunisia dalam Kumpulan G.

Skuad bola sepak lelaki England yang kali pertama dan terakhir menjulang piala paling berprestij itu pada tahun 1966 di laman sendiri, akan berdepan Tunisia pada perlawanan pembukaan di Volgograd pada 18 Jun, ulangan perlawanan pertama Piala Dunia 1998 di Perancis di mana jaringan Alan Shearer dan Paul Scholes memberikan mereka kemenangan 2-0 di Marseille.

Kemudian mereka akan bertandang ke Nizhni Novgorod pada 24 Jun bertemu Panama yang tampil buat pertama kali di pusingan akhir, sebelum bertemu Belgium di Kaliningrad pada 28 Jun.

Dengan dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan kedua, Belgium dan England yang masing-masing disingkirkan oleh pasukan bukan pilihan, Iceland ketika Euro 2016, berpeluang mengungguli Kumpulan G.

England belum pernah tewas kepada Belgium dalam kejohanan utama dan hanya tewas sekali sepanjang 21 pertemuan antara mereka.

Bekas pemain sayap England, Waddle yang gagal menyempurnakan sepakan pada penentuan penalti aksi separuh akhir bertemu Jerman ketika Piala Dunia 1990, berkata anak buah Gareth Southgate mendapat undian yang cukup memberangsangkan.

“Anda tidak boleh dapat undian yang lebih baik,” kata Waddle. “Setiap pasukan amat berbahaya. Belgium pada kelas tersendiri tetapi yang lain-lain boleh diatasi.”

Sementara itu bekas kapten England, Shearer berkata: “Saya tidak mahu katakan ia kumpulan yang bagus atau sebaliknya kerana saya sering mendengarnya sebelum ini. Kita mempunyai enam hari rehat selepas perlawanan pertama, jika mereka risaukan berkenaan perjalanan, ia bukan isu kali ini.”

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 1:23am
d