arena

'Brazil perlu lebih kuat'

Oleh AFP

JURULATIH Brazil, Tite tetap berwaspada di sebalik keputusan undian Piala Dunia awal pagi tadi dengan menyatakan juara dunia lima kali itu perlu ‘lebih kuat’ apabila bermula saingan sebenar tahun depan.

Gergasi Amerika Selatan itu diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Switzerland, Costa Rica dan Serbia.

“Satu perkara yang saya tahu ialah Brazil perlu lebih kuat dan ampuh tidak kira siapa lawan yang bakal ditemui.

“Kami perlu mempelbagaikan variasi taktikal dan menyesuaikannya apabila bertemu pihak lawan,” katanya.

Beliau enggan mengulas mengenai pasukan lain di dalam kumpulan itu kecuali Costa Rica yang pada anggapannya melalui kempen cemerlang di Piala Dunia 2014 apabila berjaya menewaskan Uruguay, Itali dan England untuk mara ke suku akhir.

Ditanya mengenai kemungkinan bakal bertemu Jerman atau Mexico pada pusingan kedua, Tite berkata: “Biar saya atasi beberapa perkara yang boleh saya kawal, iaitu meletakkan satu organisasi yang baik dan mengendalikan latihan dengan sempurna supaya pemain dapat meraih tahap yang dimahukan.”

Brazil berjaya mengelak daripada diundi dalam kumpulan sama dengan pasukan Amerika Selatan lain sekali gus harapan tinggi diletakkan dibahu mereka.

Ronaldo yang menjaringkan kedua-dua gol Brazil ketika menjulang muncul juara Dunia pada 2002 dengan menewaskan Jerman berkata: “Kami berasa gembira dengan keputusan undian ini. Pasukan seharusnya mampu menduduki tangga teratas peringkat kumpulan.

“Kumpulan lain agak sukar berbanding kami. Tite harus mempersiapkan strategi terbaiknya.”

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 2:59pm
d