arena

TFC II intai dua awang import

Oleh Faizul Azlan Razak

TERENGGANU FC II (TFC II) sedang berunding dengan dua awang import yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk memperkasakan pasukan yang dibarisi pemain muda untuk menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Pemain terbabit ialah bekas pertahanan yang menyarung jersi pasukan negeri manakala seorang lagi penyerang berbisa yang beraksi dengan sebuah kelab yang berpangkalan di Lembah Klang bermain dalam Liga Perdana musim ini.

Ketua jurulatih TFC II, Mustaffa Kamal Abd Wahab (gambar) berkata, pihaknya belum dapat mendedahkan kedua pemain import itu kerana masih dalam peringkat rundingan.

Bekas pengendali skuad Piala Presiden Terengganu itu berkata, pihaknya sedang menunggu kata putus daripada pemain pertahanan kelahiran Brazil berusia 27 tahun dan penyerang dari Nigeria berusia 33 tahun berkenaan.

“Rundingan dengan dua pemain ini masih berjalan dan kedua-duanya menunjukkan minat, namun mereka masih belum memberi keputusan sama ada mahu menyertai pasukan TFC II atau tidak.

“Kita hanya menggunakan dua awang import saja dalam TFC II kerana mahu memberi lebih banyak pendedahan kepada pemain muda dalam pasukan beraksi,” katanya.

Mustaffa Kamal yang juga bekas pemain Terengganu berkata, kehadiran dua pemain import bukan saja dapat memperkuatkan TFC II, malah mampu membimbing pemain muda dalam pasukannya musim depan.

Selain itu, katanya dia akan dibantu bekas pengendali skuad Piala Presiden T-Team, Tengku Hazman Raja Hassan sebagai penolong ketua jurulatih manakala Mohamad Efindy Mohamad Saleh bertindak sebagai jurulatih kecergasan.

“Pasukan TFC II dibarisi hampir keseluruhan pemain T-Team selain turut diperkuatkan empat pemain Skuad Penyu iaitu Hafizal Mohamad (pertahanan), Amierul Hakimi Awang (penjaga gol), Muhammad Amirul Syahmi Ashaari (penyerang) dan Muhamad Sharin Sapien (tengah).

“Malah, sekurangnya tujuh pemain skuad Piala Presiden Terengganu turut diserap masuk dalam TFC II dan kami akan mengambil langkah awal dengan memulakan sesi latihan pra-musim bermula esok,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 4:02pm
d