arena

Southgate enggan dabik dada

Oleh AFP

PENGURUS England, Gareth Southgate enggan memandang mudah saingan Piala Dunia 2018 selepas pasukannya meraih undian mudah dalam laluan untuk mara lebih jauh pada saingan kali ini.

Dalam undian yang berlangsung di Russia awal pagi tadi, England diletakkan dalam Kumpulan G bersama Belgium, Panama dan Tunisia.

Ia menyaksikan England berjaya mengelak daripada bertembung dengan tiga pasukan gergasi dunia seperti Argentina, Brazil dan Jerman sekali gus memberi kelebihan buat anak buah Southgate mencipta kejutan.

England yang kali terakhir menjuarai Piala Dunia pada 1966 bakal berdepan Tunisia dalam aksi pertama di Volgograd 18 Jun depan, dengan kali terakhir kedua-duanya bertemu di Piala Dunia Perancis 1998 yang menyaksikan dua gol daripada Alan Shearer dan Paul Scholes memastikan skuad The Theree Lions itu meraih kemenangan 2-0 di Marseille.

Seterusnya mereka akan ke Nizhni Novgorod untuk menghadapi Panama pada 24 Jun sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan menentang Belgium di Kaliningrad empat hari kemudian.

Dengan dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua, Belgium dan England dianggap pilihan untuk mendominasi peringkat itu.

Bagaimanapun, Southgate tetap berhati-hati apabila menyifatkan Panama antara pasukan yang mampu membawa masalah besar buat pemainnya.

“Atas kertas kami antara yang terbaik. Apapun, kami perlu melakukan persiapan yang cukup rapi kali ini,” katanya yang pernah beraksi berdepan Tunisia ketika Piala Dunia 1998.

“Saya masih teringat lagi akan aksi menentang Tunisia pada 1998 lalu dan itu yang bermain di fikiran saya ketika ini. Ia antara perlawanan yang cukup hebat dan kenangan manis untuk dikenang.

“Tidak banyak maklumat yang kami tahu mengenai pasukan dari Afrika itu, namun kami akan melakukan persiapan lebih rapi selepas ini,” katanya.

Tambahnya lagi: “Ia suasana yang amat hebat untuk berada dalam satu majlis undian bersama jurulatih lain. Saya cukup teruja untuk menanti saingan sebenar yang akan bermula pertengahan tahun depan.

“Objektif kami sudah tentunya mahu melepasi peringkat kumpulan ini. Agak sukar untuk meramalkan peluang kami kerana ianya bergantung kepada prestasi semasa pasukan di kejohanan itu nanti.

“Untuk saya sejujurnya, beraksi di Piala Dunia adalah suatu kebanggaan manakala mengetuai pasukan selaku pengurus pula adalah sesuatu yang sungguh istimewa,”ujarnya.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 4:18pm
d