arena

Al Jufferi idam emas Sukan Asia

Oleh Mohd Rafi Mamat

EPISOD cemerlang di Sukan Sea Kuala Lumpur Ogos lalu bakal menjadi sandaran kuat kepada pesilat negara, Al Jufferi Jamari untuk merangkul pingat emas pada saingan Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, tahun depan.

“Walaupun saingan kejohanan itu masih jauh namun saya perlu mengadakan persiapan secara berterusan dalam memastikan impian memiliki pingat emas pertama sukan terbesar Asia itu menjadi kenyataan.

“Saya ingin menjadi pesilat negara pertama yang berjaya membawa pulang pingat apabila sukan silat pertama kali dipertandingkan di temasya itu nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis resepsi perkahwinannya dengan Nurul Farhana Abd Majid di Dewan Seri Semai Bakti FELDA di sini, hari ini.

Al Jufferi berkata, ketika kejohanan silat terbuka di Belanda minggu lalu yang menjadi pertandingan penutup tirai tahun ini, dia berjaya mendapat pingat emas dalam kategori Kelas E.

Katanya, pada pertandingan itu, pasukan negara berjaya mencatat keputusan membanggakan apabila meraih empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Menurutnya, pertandingan silat pertama yang akan disertai tahun hadapan ialah kejohanan prakelayakan Sukan Asia di Jakarta yang menjadi kayu pengukur kemampuan semua pesilat yang akan bersaing di temasya sebenar.

Beliau berkata, semua pesilat negara benua Asia seperti Korea, Indonesia, Jepun dan Vietnam akan membuktikan kebolehan masing-masing bagi mengintai peluang di temasya sebenar nanti.

“Saya berharap prestasi cemerlang tahun ini dapat berlarutan ke tahun hadapan. Misi pingat emas Sukan Asia kini menjadi fokus utama selain beberapa kejohanan jemputan lain.

“Kehadiran isteri, Nurul Farhana yang juga bekas pesilat remaja kebangsaan sebelum ini diharap menjadi pembakar semangat dan pencetus kejayaan pada kerjaya saya untuk tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya yang menerima anugerah Olahragawan Kebangsaan 2015.

Mengenai perkahwinannya, Al Jufferi berkata, dia tidak menyangka perkenalan sejak dua tahun lalu itu akan menjadikan mereka suami isteri.

“Dia (Nurul Farhana) bukan saja isteri tetapi juga penasihat saya. Sukan silat menjadi penghubung kami,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 7:38pm
d