arena

Guardiola mahu City kekal momentum

Oleh AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola berkata momentum kemenangan pada permulaan musim meningkatkan keyakinan bintang Manchester City yang mereka boleh menewaskan semua lawan namun pasukan yang berada di tahap terbaik itu masih belum menang apa-apa.

Bos City itu yang pasukannya akan berdepan West Ham tengah malam ini, percaya empat kemenangan sebelum ini melonjakkan lagi semangat pemainnya.

“Menang berdepan Liverpool di laman sendiri, menang di Stamford Bridge (Chelsea), menang berdepan Napoli, berdepan Shakhtar di tempat sendiri, mereka semua pasukan yang sukar,” katanya.

“Keyakinan anda tidak hanya boleh berkata, ‘Oh, kini anda boleh menjadi yakin’. Ia tidak berlaku seperti itu. Mereka perlu melihat dan mempercayainya. Anda perlu merasainya. ‘OK, kami boleh melakukannya’.

“Kapten, Vincent (Kompany) berkata: Kami kini berasakan ke mana saja kami pergi boleh menang’. Itu adalah langkah pertama untuk tiba di penghujung kejuaraan dan terus bertarung untuk menang gelaran.”

Guardiola, 46, terkenal dengan sikap selalu memuji pasukan lawan tidak kira apa ditulis dalam akhbar.

Musim ini dia menggambarkan Napoli sebagai pasukan terbaik Eropah dan berkata kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk satu daripada pasukan terbaik benua itu.

Dia berkata, ia bukanlah permainan minda tetapi rasa hormat sebenar terhadap setiap pasukan ditentang kelab itu.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 10:36am
d