arena

Gunners lambat panas

Oleh Reuters

LONDON: Arsene Wenger nyata kecewa dengan permulaan buruk anak buahnya ketika tumbang 3-1 kepada Manchester United yang menyaksikan rekod kebal di halaman sendiri lebur selepas menang 12 perlawanan di Stadium Emirates sebelum ini.

Biarpun menguasai aksi dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu United, dua gol yang dilepaskan dalam tempoh 11 minit awal babak pertama jelas meragut peluang Arsenal untuk meraih tiga mata di depan penyokong sendiri.

Antonio Valencia dan Jesse Lingard masing-masing menggegar gawang tuan rumah pada minit keempat dan ke-11 sebelum Alexandre Lacazette membalas pada babak kedua untuk merapatkan kedudukan kepada 2-1.

Ketika The Gunners berusaha memburu gol penyamaan, Lingard sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol ketiga pelawat di minit ke-63 sekali gus menyaksikan Arsenal mengalami kekalahan pertama liga di halaman sendiri sejak Januari lalu.

“Saya rasa kami tidak bermula dengan baik terutamanya di bahagian pertahanan dan itu hakikatnya,” kata Wenger yang hanya menang dua kali dalam 19 pertemuan berdepan pengurus United, Jose Mourinho itu.

“Secara psikologi, ketinggalan 2-0 di awal permainan agak sukar untuk bangkit. Mungkin mental pemain juga terganggu dengan kejutan dua gol itu.

“Ia, kami bermain baik sepanjang perlawanan namun kesilapan mudah pemain akhirnya memakan diri. Kami tidak boleh membuat kesalahan seperti itu terutamanya dalam aksi penting,” katanya.

Begitupun, Wenger masih tetap mempertahankan persembahan anak didiknya sambil mengakui penjaga gol United, David de Gea turut menyumbang kepada kekalahan itu.

“Saya tidak tahu jika anda pernah melihat mana-mana aksi berkelas dunia yang mempunyai 33 percubaan tepat ke gawang lawan dan statistik itu menunjukkan bahawa kami dominasi aksi itu.

“Namun saya tetap kecewa kerana kami gagal meraih gol, meskipun menguasai perlawanan. Apapun, saya berbangga dengan sikap pemain yang tidak menyerah kalah dan berharap kami akan tampil lebih baik dalam aksi berikutnya,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Arsenal turun ke tangga kelima dengan 28 mata daripada 15 perlawanan, satu mata di belakang Liverpool dan 12 di belakang pendahulu Manchester City yang akan beraksi malam ini bertemu kepada West Ham.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 11:18am
d