arena

Alex perlu kerja keras

Oleh Asrol Awang

AZAMUDDIN Akil mengakui perlu bekerja keras sebaik mengambil keputusan menyarung jersi Selangor bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pemain berumur 32 tahun itu berkata, walaupun memiliki pengalaman luas dalam saingan liga dia tidak boleh berasa selesa kerana rakan sepasukan sudah pasti mahu menempatkan diri dalam kesebelasan utama.

Katanya, segalanya perlu bermula lebih awal terutama dalam mempertingkatkan lagi prestasi terutama dari segi kecergasan.

“Saya harap peluang bersama The Red Giants musim 2018 akan membantu mengembalikan motivasi dan komitmen tinggi terutama dalam skuad utama.

“Namun saya akui dengan barisan pemain muda yang ada dalam skuad ini, sudah pasti saya perlu bersaing bagi menyakinkan jurulatih,” katanya yang menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) selama dua musim sejak 2016.

Bekas pemain Pahang dan JDT itu berkata, tempoh kontrak semusim bersama The Red Giants diharap membantu memperkasakan skuad berkenaan.

Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berterima kasih di atas kepercayaan diberikan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terhadap kemampuannya.

“Oleh itu saya harap sokongan padu daripada rakan termasuk dua bekas pemain Pahang, Mohd Razman Roslan dan Khairul Azhan Khalid akan membantu terutama dari segi keserasian.

“Pengalaman yang ada bersama Pahang dan JDT sebelum ini diharap dapat memberi lebih keyakinan kerana Selangor diketahui mempunyai sejarah besar dalam Liga Malaysia.

“Pada masa sama, saya juga mahu membantu Selangor untuk kembali menjulang kejuaraan dan memberi saingan kepada pasukan yang lebih hebat,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 4:44pm
d