arena

Klinsmann minat bimbing Australia

Oleh AFP

SYDNEY: Bekas pengendali Amerika Syarikat, Jurgen Klinsmann (gambar) dilaporkan berminat membimbing Australia bagi menghadapi saingan Piala Dunia di Russia sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan Ange Postecoglou bulan lalu.

Menurut laporan media tempatan, legenda Jerman yang dipecat pada 2016 lalu ekoran aksi longlai skuad Uncle Sam pada kempen kelayakan Piala Dunia, meminta bantuan rakan karibnya untuk mengisi jawatan itu.

Klinsmann, 53, dikatakan bersedia melakukan perubahan ke atas skuad The Socceroos sambil Postecoglou yang cemerlang membawa Australia ke Russia bakal mengendalikan kelab Jepun, Yokohama F-Marinos musim depan.

Jelas rakan karib Klinsmann, beliau amat tertarik dengan peningkatan kualiti liga domestik Australia dan percaya skuad kebangsaan negara itu sudah bersedia untuk tampil lebih garang di Piala Dunia nanti.

Bagaimanapun, Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) kemungkinan berdepan masalah pembayaran gaji kerana apa yang ditawarkan FFA lebih rendah berbanding Amerika Syarikat sebelum ini.

FFA dipercayai hanya mampu menawarkan gaji sekitar AS1.14 juta (RM4.67 juta) setahun.

Di Russia nanti, Australia diundi dalam Kumpulan C bersama tiga pasukan handalan lain iaitu Perancis, Denmark dan Peru.

Perancis bakal menjadi lawan pertama mereka yang dijadualkan berlangsung di Kazan (16 Jun) sebelum meneruskan cabaran berdepan Denmark di Samara (21 Jun) dan Peru di Sochi (26 Jun).

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 11:32am
d