arena

Azlan, Akid julang kejuaraan di ARRC

Oleh Sukhairi Thani

Kuala Lumpur: Dua pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Akid Aziz masing-masing muncul selaku juara Asia dalam kelas masing-masing di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), semalam.

Azlan muncul juara keseluruhan kelas SuperSports 600cc selepas menamatkan perlumbaan akhir musim 2017 di Buriram di tangga ketiga dengan jumlah 155 mata keseluruhan.

Penamat ketiga yang diraih pada Perlumbaan 2 di Buriram itu membolehkan dirinya memintas pendahulu sebelum ini, Zaqhwan Zaidi untuk bergelar juara buat kali kedua selepas meraihnya pada 2013.

Pelumba pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu memulakan perlumbaan dari petak keempat dan diberi tentangan sengit dalam kelompok empat pelumba hadapan oleh Chalermpol Polaimai, Anthony West, Thitipong Warokorn manakala Apiwat Wongthananon bersendirian, selesa mendahului di depan.

Selepas berada di kedudukan keempat pada satu ketika, Azlan terpaksa mengerah jentera pada saat akhir untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan masa keseluruhan 29 minit 59.060 saat.

“Dari awal perlumbaan saya tahu yang saya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik. Pada masa sama juga saya perlu menjaga tayar saya sehingga ke penamat. Strategi saya berjaya dan membantu untuk memintas Chalermpol pada pusingan terakhir,” kata Azlan.

Zaqhwan pula menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh dan meletakkannya selaku naib juara keseluruhan dengan 153 mata.

Sementara itu, Mohd Akid Aziz mencatat sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan pertama dalam kelas Underbone 150cc, sekali gus turut menamatkan penantian juara underbone dari Malaysia selepas kali terakhir dimenangi Mohd Affendi Rosli pada 2009.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 11:39am
d