arena

'Kami tak aniaya FELDA!'

Oleh Syafiq Aznan

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menegaskan, pihaknya tidak menganiayai FELDA United selepas skuad ‘The Fighters’ itu disingkirkan ke Liga Perdana susulan gagal meraih lesen beraksi di Liga Super musim hadapan.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, tindakan untuk tidak membenarkan pasukan yang tidak memiliki lesen untuk beraksi dalam Liga Super sudah diputuskan lebih awal lagi sebelum ini.

Katanya, isu membabitkan pelesenan kelab adalah satu perkara yang serius dan ahli lembaga pengarah sudah membuat penilaian yang sewajarnya sebelum mengambil keputusan terbabit secara kolektif.

“Ia tidak ada kaitan dengan persembahan pasukan itu jika ada pihak yang menyatakan FMLLP cuba menghalang FELDA United atas alasan sedemikian. FMLLP juga akan dikritik jika membenarkan mereka bertanding tanpa lesen Liga Super.

“Perkara asasnya adalah mudah, pihak pengurusan perlu menguruskan pasukan dengan baik dan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Jika mereka berjaya mengemukakan dokumen dalam tempoh ditetapkan, saya rasa perkara sebegini tidak akan berlaku.

“Mungkin pihak yang merasakan penganiayaan itu cuba untuk menutup kegagalan diri sendiri. Kita tidak mahu menganiayai mana-mana pasukan pun,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat FMLLP, di sini, hari ini.

Kevin turut memberi contoh ada pasukan divisyen dua di Thailand yang diturunkan ke divisyen empat, selepas gagal melengkapkan dokumen untuk pelesenan kelab mereka.

“Ini membuktikan mereka begitu mengambil serius terhadap bola sepak mereka, jadi kalau mahu mengkritik cara FMLLP, kita akan terus ketinggalan jauh berbanding negara jiran,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 6:33pm
d