arena

EDRA kekal perkasa MU

Oleh Nazri Abu Bakar

SYARIKAT EDRA Berhad terus kekal sebagai penaja utama skuad Melaka United (MU) selepas memperuntukkan tajaan bernilai RM5 juta kepada skuad terbabit untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Majlis penyerahan replika cek itu disampaikan oleh Naib Presiden Kanan EDRA, Datuk Mohd Nor Ali kepada Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron, hari ini.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, setakat ini EDRA kekal sebagai penaja utama skuad itu dengan tajaan bernilai RM5 juta.

Katanya, beliau yakin lebih banyak tajaan akan diterima MUSA dalam tempoh terdekat selepas syarikat pakaian jenama Warrix dari Thailand turut menjadi penaja jersi pasukan terbabit.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM17 juta bagi membentuk pasukan Liga M musim depan dan kami yakin, ia mampu mencecah jumlah yang lebih besar.

“Beberapa langkah termasuk penswastaan skuad Piala Presiden dan Piala Belia membolehkan MUSA tidak lagi bergantung kepada jumlah tajaan untuk menguruskan skuad Liga M kerana sebelum ini, pendapatan tajaan juga perlu diagihkan kepada pasukan berkenaan,” katanya.

Katanya, skuad Piala Presiden akan dikendalikan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) apabila SAMB FC yang menyertai saingan Piala FAM sejak beberapa musim lalu tidak lagi bersaing pada liga berkenaan.

Selepas ini, katanya beberapa syarikat lain yang kekal sebagai penaja pasukan MU termasuk Mamee-Double Decker (M) Berhad (Mamee) juga akan mengumumkan jumlah tajaan mereka dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 9:19pm
d