arena

'Sila bawa saya ke mahkamah'

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

“TERUSKAN usaha, Mario... $$$, sila bawa saya ke mahkamah kerana saya tidak pernah merasa ke mahkamah dan saya ingin merasainya,”

Itu reaksi Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung hasrat bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik JDT itu, selepas jurulatih dari Argentina berkenaan mendakwa tidak menerima bayaran gaji.

“Saya, Tunku Mahkota Johor, tidak perlu saya nyatakan berapa banyak wang yang saya ada. Masuk akal atau tidak AS$60,000 (RM243,784) tidak mampu saya bayar? cc: Kepada ‘page-page’ yang obses kepada JDT,” katanya menerusi laman sosial Facebook JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Jurulatih berusia 60 tahun yang akan mengendali kelab Indonesia, Persib Bandung musim depan mendakwa tidak menerima gaji dan peguamnya kini sedang membentangkan dan akan membawa kes itu kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, apa yang diperkatakan Gomez adalah tidak benar.

Berdasarkan kontrak Gomez bersama JDT, jurulatih itu perlu membayar gaji pembantunya, Raul Longhi.

Pada awalnya, Gomez membayar gaji itu secara terus, namun kemudian beliau meminta setiausaha kelab untuk membayar terus kepada Longhi, dan permintaannya itu sudah pun dilunaskan oleh pengurusan JDT sejak 2015.

“Gomez juga telah membuat kenyataan palsu kami tidak menjawab suratnya. Kami menerima surat itu dalam bahasa Sepanyol dan telah menjawab dengan sewajarnya.

“Jangan cuba untuk menipu kerana ini akan menjejaskan karier anda di Indonesia. Saya nasihatkan beliau supaya dapatkan nasihat undang-undang yang betul sebelum merapu di media.

“Kita ada saluran perundangan yang betul di mahkamah dan bukannya cuba menarik polemik kosong dengan memulakan perbicaraan melalui media.

“Barisan peguam kami telah bersiap siaga dengan segala fakta dan asas yang kukuh, kerana kita yakin tindakan diambil sebelum ini adalah bertepatan dan selari dengan undang-undang,” kata Edwards.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 6:52pm
d