arena

Shree tak patah semangat

Oleh Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN namanya digugurkan daripada Program Podium, ia langsung tidak mematahkan semangat atlet karate negara Shree Sharmini Segaran untuk memenuhi sasaran meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Indonesia, Ogos depan.

Atlet negara yang beraksi menerusi acara kumite kategori bawah 68 kilogram (kg) itu berkata, Sukan Asia sememangnya menjadi fokus utamanya tahun depan.

“Untuk musim depan, ada beberapa kejohanan yang akan saya sertai bermula pada Januari.

“Sasaran utama saya bagaimanapun adalah di Sukan Asia. Saya mahu mara ke final,” katanya yang meraih pingat gangsa pada kejohanan sama empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan.

Jelas Sharmini, kejayaan meraih dua emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos lalu menerusi acara individu dan berpasukan, memberi suntikan semangat untuknya menghadapi kempen 2018.

“Apapun untuk tahun depan segala-galanya terpulang kepada perancangan jurulatih.

“Setakat ini saya hanya akan memberi fokus kepada sesi latihan yang sudah pun bersambung semula,” katanya.

Selain Sharmini, skuad karate negara turut menyumbang dua pingat emas serta satu lagi gangsa di Incheon sekali gus melepasi sasaran satu emas disasarkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).

Dua emas disumbangkan menerusi Syakilla Salni Jefry Krisnan dalam acara kumite bawah 61kg dan Lim Chee Wei (Kata lelaki).

Satu lagi gangsa dimenangi oleh S Senthil dalam acara kumite bawah 55kg lelaki.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 11:36pm
d