arena

Serap tiga pemain muda

Oleh Naqib Nor Said

DHAARMA Raj Abdullah mengambil tindakan drastik apabila menyerap masuk tiga pertahanan muda ke dalam skuad hoki wanita negara kerana memikirkan posisi itu bakal menjadi bahagian paling kritikal dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Ketika ini, Malaysian Tigress hanya bergantung harap kepada empat pertahanan sama iaitu kapten Siti Noor Amarina Ruhani, 30; Juliani Din, 32; Nuraini Abd Rashid, 26; dan Raja Norsharina Raja Shabuddin, 26.

Namun, dengan faktor Amarina dan Juliani yang semakin dimamah usia, pengendali hoki wanita negara itu tiada pilihan selain perlu segera mencari pengganti masa depan buat dua pertahanan paling konsisten itu.

“Daripada lapan pemain muda baru yang dipanggil, tiga daripadanya adalah pertahanan. Ia berikutan kebanyakan pemain utama saya makin berusia terutamanya di bahagian pertahanan.

“Jadi, ini sebahagian daripada usaha saya untuk mencari pengganti masa depan buat pemain senior, saya tidak mahu menyesal di kemudian hari kerana gagal mencari pengganti berwibawa,” kata Dhaarma ketika ditemui di Institut Sukan Negara (ISN), pagi ini.

Tiga pertahanan muda yang dibawa masuk adalah dua tonggak Selangor Ellya Amanina Ellias, 17, dan Dayang Nuramirah Abang Mahadini, 16; serta pemain kelahiran Sabah yang beraksi buat Melaka, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun, 16.

Senarai terbaru 26 pelatih ini turut menyaksikan lima pemain muda di bahagian serangan dibawa masuk dengan hanya tinggal penyerang Kedah, Nuramirah Syakirah masih belum melaporkan diri kerana kelewatan surat panggilan.

Namun, Dhaarma, 48, tetap mempertahankan keputusannya menyenaraikan ramai muka muda sambil menjelaskan beliau tidak menggugurkan mana-mana pemain yang beraksi di Piala Asia, Jepun, bulan lalu.

“Langkah yang saya ambil ini lebih kepada memberi peluang buat pemain muda tanpa menggugurkan pemain utama dan mereka ini wajar diberi peluang berbanding pemain yang sentiasa berada dalam skuad tetapi gagal memotong pemain utama.”

Berikut senarai 26 pemain yang dipanggil menyertai skuad hoki wanita senior 2018.

Penjaga gol: Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Md Aziz dan Ain Nur Nasiha Yahaya

Pertahanan: Siti Noor Amarina Ruhani, Juliani Mohamad Din, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nuraini Abdul Rashid, Fatin Shafika Mahd Sukri, Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi, Ellya Amanina Ellias dan Dayang Nuramirah Abang Mahadini.

Tengah: Fazilla Sylvester Silin, Siti Rahmah Othman, Norbaini Hashim, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Surizan Awang Noh, Siti Zulaika Hussin dan Nor Asfarina Isahyifika Isahhidun.

Penyerang: Nurul Nabihah Mansur, Norazlin Sumantri, Hanis Nadiah Onn, Nuraslinda Said, Nur Syafiqah Mohd Zain, Nur Atira Mohamad Ismail, Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 11:52pm
d