arena

Tak mahu lepas peluang

Oleh Amrullah Abdul Karim

Sungai Buaya: Penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 (HMMTBGP) di sini Sabtu lalu turut menarik penyertaan pelbagai kaum termasuk Cina yang datang dari sekitar Lembah Klang.

Antara peserta yang mengambil bahagian adalah Wong Kong Leng, 44, dari Subang Jaya yang menyertai kayuhan dalam kategori Junior Master.

Menurutnya, matlamatnya bukan untuk berlumba sebaliknya lebih kepada kesihatan dan kecergasan badan.

Katanya, cabaran paling getir dalam berbasikal lasak adalah mental dan kelebihan berkayuh dalam bilangan yang tinggi ialah ramai pelumba lain akan memberi dorongan.

“Saya baru setahun terbabit dalam aktiviti basikal lasak ini tetapi sudah sertai banyak perlumbaan kecil.

“Ini kali ketiga saya menyertai perlumbaan besar dan tidak menyangka laluannya sangat mencabar dan memenatkan,” katanya.

Menurutnya, HMMTBGP dilihat salah satu acara berprestij kerana disertai ramai pelumba termasuk dari luar negara.

Katanya, kehadiran pelumba profesional turut membuktikan program itu berada pada kelas tersendiri.

Sementara itu, empat peserta dari Rawang Perdana menyertai pertandingan itu kerana mahu mengumpul pingat.

Tan Hsiao Hui, 32, berkata, dia bersama rakannya berminat untuk mendapatkan pingat kejuaraan kali ini kerana nilainya berbeza dengan kejuaraan lain yang pernah disertainya.

“Saya selalu menyertai semua acara besar sejak setahun lalu dan bila dapat tahu di sini ada buat perlumbaan saya terus hantar penyertaan.

“Saya cuma nak kumpul pingat dan HMMTBGP ini ada kelebihan tersendiri sebab nak dapatkannya saya rasa seperti hendak pengsan kerana trek yang mencabar,” katanya.

Menurutnya, sejak menyertai aktiviti basikal lasak Ogos tahun lalu, dia dan rakannya sudah mengumpul lima pingat.

Katanya, jika Harian Metro meneruskan kejuaraan sama di kawasan itu pada masa akan datang, sudah pasti dia antara peserta yang akan mendaftar awal.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 10:28am
d