arena

Zaquan tekad kembalikan kegemilangan KL

Oleh Rodly Fadly

IMPIAN besar Kuala Lumpur mahu mengulangi zaman kegemilangan yang pernah mereka kecapi pada 1980-an menjadi tarikan utama kepada Zaquan Adha Abdul Radzak untuk menyertai skuad warga kota itu.

Zaquan yang menurunkan tandatangan persetujuan petang semalam berkata, dia tertarik dengan perancangan skuad bimbingan Fabio Maciel itu yang mempunyai hala tuju jelas.

Apatah lagi apabila mengetahui namanya berada dalam senarai teratas sebagai pemain ‘paling dikehendaki’ oleh Maciel bagi membentuk skuad 2018 yang bakal beraksi dalam Liga Super.

“Sejak awal perbincangan dengan pengurusan Kuala Lumpur saya sudah tertarik dengan perancangan mereka yang mahu menjadikan pasukan itu sehebat skuad 1980-an.

“Malah saya diberitahu nama saya dicadangkan jurulatih mereka sendiri. Ini bermakna beliau mempercayai kebolehan saya, sesuatu yang sangat penting bagi seorang pemain.

“Cuma, ketika itu saya tidak terus menyatakan persetujuan kerana mahu menilai sejauh mana kesungguhan Kuala Lumpur untuk merealisasikan impian mereka.

“Pada masa sama, saya turut menerima tawaran daripada beberapa pasukan. Jadi, saya perlu menimbangkan pro dan kontra sebelum membuat keputusan, ia bukan soal gaji semata-mata tapi perlu dilihat daripada pelbagai sudut,” katanya.

Zaquan yang berpengalaman luas, menyertai pasukan Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia, Johor Darul Ta’zim dan Perak sebelum ini, yakin dengan barisan pemain dimiliki, Kuala Lumpur mampu memenuhi hajat mereka.

“Gabungan pemain asal pasukan ini yang membawa mereka menjuarai Liga Perdana serta kemasukan beberapa bintang tempatan seperti Indra (Putera Mahayuddin), juga pemain import berkualiti, mampu melonjakkan Kuala Lumpur.

“Malah, saya sangat berkeyakinan dengan kemampuan jurulatihnya kerana beliau terbukti seorang yang bagus apabila mampu mengubah nasib Kuala Lumpur dalam waktu singkat selepas mengambil alih pasukan ini,” ujar Zaquan.

Untuk rekod Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut bermula pada 1987. Selain itu mereka pernah menjuarai Piala FA sebanyak tiga kali (1993, 1994, 1999) di samping muncul juara liga pada 1986 dan 1988.

Mengenai jodohnya bersama Perak yang hanya bertahan selama semusim, Zaquan berkata ia bukan pilihannya kerana pasukan itu yang tidak berminat menyambung kontrak.

“Jika diberi pilihan, saya mahu terus bersama Perak kerana saya rasa musim 2018 adalah yang terbaik untuk saya memenangi sekurang-kurangnya satu piala bersama mereka.

“Ini kerana skuad yang dibentuk pada 2017 oleh Mehmet (Durakovic) sudah menunjukkan keserasian. Malah, saya sendiri sudah berasa selesa bersama pasukan itu tapi apa nak buat, pengurusan Perak mungkin mempunyai perancangan lain,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 11:35am
d