arena

Christie kembali ke FELDA United

Oleh Asrol Awang

JASA pengendali FELDA United FC, B Sathianathan mendorong pemain berpengalaman luas, Christie Jayaseelen (gambar) kembali menyarung jersi kelab berkenaan musim depan.

Justeru, bagi membuktikannya, Christie yang beraksi bersama Pahang musim ini sedia menggalas tugas yang diamanahkan itu.

“Sebenarnya keputusan kembali ke FELDA United lebih kepada jurulatih (Sathianathan) yang banyak membantu menaikkan prestasi saya .

“Atas sebab itu saya memutuskan menyertai The Fighters musim depan dan mahu berada dalam kesebelasan utama.

“Saya percaya kelab ini mampu menyerlah dan sedia untuk kembali ke Liga Super musim 2019,” katanya.

Dengan keputusan Christie menyertai The Fighters musim depan, pemain tengah itu mengikut jejak Ahmad Syamim Yahya yang membuat keputusan kembali ke FELDA United selepas semusim bersama skuad Tok Gajah.

Ketika bersama Pahang, Christie membantu skuad Tok Gajah muncul naib juara Piala FA dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia serta menduduki tempat kedua Liga Super.

Dalam misi membantu FELDA United ke Liga Super 2019, dia bersama rakan sepasukan akan berusaha untuk mencapai hasrat itu.

Biarpun perlu bekerja keras, pengalaman yang dimiliki Sathianathan yang juga bekas jurulatih kebangsaan mampu merealisasikan impian The Fighters.

“Ia dapat disaksikan apabila Sathianathan mengambil alih pasukan ini pada pertengahan musim dan membawa The Fighters di tempat ketiga Liga Super,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 11:50am
d