arena

Hyeon Woo tak menyesal

Oleh Faizul Azlan Razak

PEMAIN import baharu Terengganu FC I (TFC I), Kim Hyeon Woo mengakui tidak menyesal meninggalkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang turut mewarnai kancah Liga Super musim depan.

Pemain yang beraksi dengan Phnom Penh United dalam Liga Kemboja itu berkata, keputusan menyertai TFC I musim depan adalah yang terbaik untuk dirinya selepas semusim bersama PKNP.

“Tidak. Saya tidak menyesal meninggalkan PKNP sekalipun mendapat tahu bekas pasukan yang disertai musim ini dinaikkan pangkat beraksi di Liga Super musim depan.

“Malah, saya menerima tawaran TFC I kerana mereka begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan khidmat saya dan saya tidak mahu melepaskan peluang ini,” katanya yang mengikat kontrak setahun bersama TFC I.

Pemain yang beraksi di posisi tengah berusia 28 tahun itu mengakui akan berusaha memberikan yang terbaik memandangkan TFC I mempunyai matlamat dan misi besar musim 2018.

“Pasukan ini mempunyai pemain tempatan dan import berkualiti. Jadi, saya mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dengan bekerja keras bagi memastikan sasaran pasukan tercapai musim depan,” katanya.

Sementara itu, pemain kebangsaan Kemboja yang dilahirkan di Perancis, Thierry Chantha Bin berkata dia sudah bersedia menyahut cabaran TFC I dan akan menyesuaikan diri dengan cepat corak permainan rakan sepasukan.

Bekas tonggak pasukan kebangsaan Kemboja yang beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur itu tidak menolak ada sedikit tekanan kepada dirinya kerana ia adalah penampilan sulung beraksi dalam saingan Liga M.

“Sekalipun pernah beraksi menentang Malaysia, namun itu tidak boleh dijadikan ukuran. Justeru, saya berjanji untuk membantu pasukan dan tidak sabar untuk beraksi,” kata bekas pemain kelab Thailand, Krabi FC.

Musim depan, TFC I yang juga pendatang baharu Liga Super diperkuatkan tiga lagi awang import iaitu bekas pemain import Negeri Sembilan kelahiran England, Lee Andrew Tuck, Igor Zonjic (Serbia) dan penyerang, Tchetche Kipre (Ivory Coast).

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 12:40pm
d