arena

JDT, Muangthong buat perhitungan

Oleh Syafiq Aznan

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan berputih mata sekali lagi untuk merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan selepas gagal menyertai liga elit bola sepak Asia itu apabila terkandas di peringkat kelayakan dalam tiga musim terdahulu.

Namun, JDT bakal berdepan pasukan yang mengecewakan mereka pada pusingan awal kedua musim 2016, Muangthong United dan anak buah Ulisses Morais itu tahu hanya kemenangan ke atas kelab Thailand itu saja yang mampu membawa mereka mara ke pusingan ‘play-off’ bertemu kelab daripada Jepun.

Untuk itu, penolong jurulatih skuad Harimau Selatan, Ismail Ibrahim mahu barisan pemainnya berjuang habis-habisan dalam usaha merealisasikan hasrat untuk mara ke saingan ACL buat kali pertama dalam sejarah mereka.

“Namun kita berdepan laluan yang begitu sukar kerana Muangthong United sememangnya sebuah pasukan yang begitu baik apatah lagi mereka sudah bersaing di ACL pada musim ini.

“Apapun, kami sudah bersedia untuk menghadapi cabaran daripada pasukan lawan dan saya mengharapkan pemain dapat memberikan yang terbaik untuk perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Piala AFC 2018 yang berlangsung di Rumah AFC, Bukit Jalil, hari ini.

Pencapaian terbaik juara Liga Super empat kali berturut-turut itu pada saingan ACL adalah mara ke pusingan ‘play-off’ musim ini namun terpaksa akur dengan kehebatan kelab daripada Jepun, Gamba Osaka yang menumbangkan mereka dengan keputusan 0-3.

Musim 2015 menyaksikan perjuangan mereka terhenti di pusingan kedua apabila tunduk 0-3 di tangan Bangkok Glass dan tewas di peringkat sama pada musim 2016 apabila dikecewakan Muangthong United 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti susulan terikat tanpa jaringan selepas 120 minit perlawanan.

Mengulas lanjut mengenai satu lagi slot pemain import JDT yang masih lagi belum diisi, Ismail menjelaskan keputusan itu terletak di tangan pengurusan untuk mendapatkan pemain yang bakal melengkapkan kuota import kelima buat pasukan itu.

“Terpulang kepada pengurusan namun kita akan cuba putuskan dalam masa terdekat dan cuba untuk mendaftarkan pemain import itu sebelum bermulanya aksi ‘play-off’ ACL,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 5:52pm
d