arena

Antara Firhan, THT dan TNB

Oleh Naqib Nor Said

PELEDAK berbisa Terengganu Hockey Team (THT), Firhan Ashari menjadi pemain terbaru yang dikaitkan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas juara 2003 itu dilihat semakin hampir mengikat rakan sepasukannya Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil.

Menurut Firhan, tawaran menarik dibuat TNB menjadi antara punca hatinya kini berbelah bahagi ketika kontraknya bersama THT akan tamat pada 31 Disember nanti.

“Perkara ini masih dalam pertimbangan, masih belum ada kepastian 100 peratus.

“Tetapi saya tidak menafikan yang saya berminat kembali ke TNB kerana pasukan itu mampu memberi jaminan masa depan yang lebih cerah buat saya, malah pasukan itu juga semakin meningkat,” kata produk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu.

Meskipun hanya ditawarkan kontrak setahun dengan terma lanjutan, tetapi Firhan dikatakan tidak menolak lamaran itu kerana TNB menjanjikan peluang pekerjaan buatnya selepas ini.

Penyerang negara berusia 24 tahun itu dikatakan turut sanggup menolak beberapa tawaran lain untuk kembali bergabung dengan pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasruddin.

Malah, difahamkan nama Firhan dan Tengku Ahmad Tajuddin yang muncul antara penjaring terbanyak tempatan pada musim ini dengan 13 dan 10 gol juga sudah disenaraikan TNB menjelang tarikh tutup pendaftaran pasukan, Jumaat ini.

Sebagai rekod, Firhan memulakan karier dalam Liga Hoki Malaysia pada 2009 bersama Kelab Hoki Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke TNB selama dua musim pada 2012 diikuti THT (2014, 2015), Sapura (2016) dan kembali ke THT pada musim ini.

Andai benar, ia pasti tamparan hebat buat THT untuk kehilangan dua tonggak serangan itu yang dianggap cukup penting dalam kejayaan THT meraih tiga kejuaraan Liga Premier dan empat kali Piala TNB.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 6:07pm
d