arena

Perkara biasa jurulatih letak jawatan

Oleh Syafiq Aznan

BUKAN sesuatu yang mengejutkan apabila jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan susulan prestasi hambar anak buahnya sejak mengendalikan pasukan itu pada Mei lalu.

Malah, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar turut melihat keputusan pengendali berusia 64 tahun itu untuk berundur sebagai tindakan untuk menyelamatkan karier dan reputasinya sebagai salah satu jurulatih yang sudah menempa pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa sebelum ini.

Mohamad Bakar yang juga bekas pembantu jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980 itu turut berpendapat Vingada sudah kehabisan idea dan tiada jalan untuk dia membantu meningkatkan kualiti bola sepak dan juga prestasi pemain dalam skuad kebangsaan.

“Sebagai jurulatih, kadang-kala kita boleh merasakan situasi di mana kita menjadi buntu dan nampak sesuatu perkara itu sukar untuk dilakukan jadi untuk Vingada, berkemungkinan beliau melihat sudah tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk meningkatkan ranking skuad kebangsaan.

“Tambahan pula, dengan keputusan buruk yang dilakar pasukan kebangsaan di bawah kendaliannya ketika ini, tidak sukar untuk kita jangkakan bahawa beliau akan mengambil keputusan sebegitu.

“Beliau pun perlu jaga reputasi sebagai jurulatih yang ‘ada nama’ dan jika beliau terus mengendalikan pasukan yang sering berdepan kekalahan, sudah pasti itu bukanlah satu situasi yang bagus untuk kariernya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, jodoh Vingada yang terkenal dengan gelaran ‘The Professor’ bersama Harimau Malaya hanya bertahan enam bulan, enam hari apabila jurulatih dari Portugal itu mengambil keputusan melepaskan jawatan disandangnya berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Jordan itu berkata, keputusan terbabit dibuat atas dasar tanggungjawab selepas gagal membantu Harimau Malaya meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan kendaliannya.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan.

“Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang berlaku, saya mengumumkan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta-merta dan presiden sendiri turut menerima keputusan ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 10:26pm
d